DOHA: Yusef Ahmed meledak dua gol untuk memulihkan maruah Qatar serta menghidupkan peluang melangkah ke pusingan kalah mati Piala Asia menerusi kemenangan 2-0 ke atas China, semalam.
Kemenangan itu kembali menyuntik semangat pasukan tuan rumah selepas tumpas pada perlawanan pembukaan kepada Uzbekistan dengan menyaksikan Uzbekistan kini mengumpul enam mata dalam Kumpulan A manakala China dan Qatar meraih tiga mata dengan baki satu lagi perlawanan.
Kuwait berdepan detik lebih sukar apabila gagal meraih sebarang mata dan mesti menang dalam pertembungan dengan Qatar, Ahad ini.
Pada perlawanan di Stadium Khalifa, Ahmed menjaringkan gol pada minit ke-27 untuk meletakkan pasukannya di depan apabila bijak mengawal bola hantaran tinggi sebelum melepaskan rembatan voli ke penjuru gawang.
Disaksikan penyokong tempatan, pemain berusia 22 tahun itu kemudian menggandakan pendahuluan di akhir babak pertama untuk merobek semangat pemain muda China yang menewaskan Kuwait 2-0 pada perlawanan pertama.
Jurulatih Qatar, Bruno Metsu yang berdepan kemungkinan dipecat jika tewas perlawanan itu bangga dengan kebangkitan pasukannya selepas tumpas perlawanan awal.
“Kami mahu buktikan kemampuan sebenar pasukan ini dan semua pemain berjaya melakukannya. Mereka menunjukkan potensi sebenar dan saya bangga dengan persembahan yang ditunjukkan.“Kami akan cuba memberikan aksi sama menentang Kuwait untuk layak ke peringkat seterusnya,” kata pengendali dari Perancis itu.
Meskipun tewas, jurulatih China, Gao Hongbo berkata, ia pengalaman baik untuk pasukan mudanya namun mengakui mereka perlu mencipta banyak peluang.
“Pasukan kami tidak menyerang dengan baik. Qatar mendapat dua gol dan kami tidak memberi tekanan kepada mereka sekali gus memberi peluang lawan mengatur serangan lebih mudah.
“Kami tewas tapi saya fikir kekalahan sebahagian daripada kehidupan. Saya fikir kami boleh melakukan lebih baik pada perlawanan selepas ini yang menjadi perlawanan paling penting buat kami,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.