aziman@hmetro.com.my
PENYERANG utama Terengganu, Abdul Hadi Yahya sedia menjadi duri dalam daging buat Kelantan bagi membantu pasukannya mencipta kegemilangan pada pentas final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Dengan ledakan 15 gol dalam Liga Super musim ini, pemain berusia 26 tahun itu bertekad melakukan apa saja untuk membolosi gawang lawan yang bakal dikawal rapi penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat.
“Saya tahu beban yang dipikul pada perlawanan itu, tipulah kalau saya cakap tiada tekanan. Tapi saya akan berusaha melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik,” katanya yang ditemui selepas berakhirnya sesi latihan skuad Terengganu semalam.
Kehebatan Abdul Hadi yang cukup berbahaya di depan pintu gol turut terbukti di peringkat antarabangsa apabila menjaringkan gol ketika skuad kebangsaan seri 1-1 dengan Hong Kong baru-baru ini pada aksi pertamanya.
Malah dia turut memainkan watak penting dalam mencipta laluan Terengganu ke final Piala FA dengan menjaringkan empat gol setakat ini.
Menurut Abdul Hadi, moral pemain tidak terjejas walaupun tumpas 0-3 kepada Kelantan dalam saingan Liga Super Isnin lalu.
“Perlawanan ini saya jangkakan 50-50 tapi berbekal semangat dipamerkan pemain ketika ini, saya yakin Terengganu boleh menang,” katanya yang bakal beraksi pada final Piala FA pertama dalam karier.
----- Harian Metro Online
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.