sukan@hmetro.com.my
SELEPAS menyelamatkan reputasi dan maruah skuad kebangsaan daripada dicalar Hong Kong pada perlawanan persahabatan Jumaat lalu, penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya, sekali lagi mahu membuktikan kelibatnya cukup berbisa apabila turun menentang Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.
Abdul Hadi yang juga penjaring terbanyak Liga Super dengan 15 gol berkata, dia tidak rela berputih mata di gelanggang sendiri ketika perlawanan amat penting bagi memastikan Terengganu merampas kedudukan teratas liga.
“Selepas berjaya menyumbat gol penyamaan pasukan kebangsaan lebih-lebih lagi kali pertama dipanggil dalam skuad kebangsaan, saya bagaikan mendapat tonik baru menjelang pertemuan penting dengan Kelantan malam ini.
“Gol penyamaan itu diharap dapat menyuntik semangat saya dan rakan sepasukan untuk memburu kemenangan penting ini,” katanya.
Pada perlawanan dengan Hong Kong Jumaat lalu, Abdul Hadi membuktikan dia layak membarisi skuad kebangsaan apabila menjaringkan gol penyamaan minit ke-72, enam minit selepas menggantikan Safee Sali. Penyerang berusia 26 tahun berasal dari Klang, Selangor itu berkata, perlawanan menentang Kelantan adalah penentu hala tuju skuad Terengganu sama ada mampu menjulang Liga Super atau sebaliknya kerana kedudukan mata sama, 47, cuma berbeza satu gol sahaja.
Selain itu, Abdul Hadi turut mengharapkan tiga lagi rakannya dalam skuad kebangsaan, Ismail Faruqi, Helmi Remeli dan Mohd Sharbinee Alawee memperagakan aksi mantap walaupun tanpa kelibat Ashaari Shamsuddin yang digantung satu perlawanan.
“Inilah masa terbaik bagi skuad Terengganu untuk mencatat kemenangan lebih-lebih lagi bermain di gelanggang sendiri dalam misi untuk merampas semula kedudukan tangga teratas liga,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berkata ketajaman ledakan Abdul Hadi ketika mewakili skuad kebangsaan sekali lagi ditagih untuk mencipta kemenangan malam ini bersama gandingannya Abdul Manaf Mamat.
“Walaupun ketiadaan Mohd Ashaari sedikit dirasai, saya percaya gandingan Abdul Hadi dan Abdul Manaf dibantu pemain lain mampu memberi keceriaan kepada kem Terengganu dalam misi mencatat kemenangan untuk mencipta sejarah muncul juara Liga dengan baki tiga perlawanan lagi termasuk malam ini,” katanya.
----- Harian Metro Online
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.