SHAH ALAM - Dua musim tanpa sebarang piala sudah cukup membuatkan para peminat setia Selangor berasa kecewa memandangkan Red Giants masih dilihat kuasa utama bola sepak dalam persaingan Liga Malaysia selain daripada Kelantan.
Ditambah kehilangan ketua pasukan, Safiq Rahim yang mengambil
keputusan berhijrah ke Johor Darul Takzim FC, ramai bimbang kekuatan
Selangor semakin berkurangan.
Namun, Asraruddin Putra Omar, yang kini dilihat antara calon pilihan
memakai lilitan ketua pasukan pada musim 2013 melaungkan keazaman untuk
menamatkan kemarau kejuaraan Selangor selepas sekadar menduduki tempat
ketiga dalam persaingan Liga Super dan separuh akhir Piala Malaysia
musim lalu.
Malahan dia memberikan amaran kepada pencabar-pencabar lain bahawa
Selangor akan lebih perkasa berbanding musim lalu, ditambah kehadiran
beberapa pemain berkualiti ke dalam pasukan.
"Jika pengurusan memberi penghormatan kepada saya untuk menjadi ketua
pasukan, impian utama saya sudah pasti mahu menamatkan kemarau
kejuaraan Selangor kerana telah dua musim kami tidak memenangi apa-apa.
"Saya harap ia mampu dicapai kerana dengan pemain baru yang dibawa
masuk oleh pihak pengurusan, saya rasa cukup yakin Selangor mampu
mencapai sesuatu pada musim ini dan kami nampak kuat berbanding musim
lalu.
"Kombinasi semua pemain nampak mantap terutama di bahagian pertahanan
dengan kehadiran pemain seperti Mohd. Raimi Mohd. Nor dan Mohd. Fairuz
Abdul Aziz di bahagian bek kiri serta Mahalli Jasuli di bahagian kanan
manakala saya cukup selesa bermain di bek tengah bersama Ramez Dayoub, "
katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Selangor
dan Sabah di Stadium Shah Alam, semalam.
Peranan selaku ketua pasukan bukanlah satu tugasan asing kepada
Asraruddin kerana dia pernah memikul tugas yang sama sewaktu Piala
Juara-Juara Remaja Dunia (CYC) 2007.
Dalam perlawanan itu, Selangor tidak berdepan banyak masalah
menewaskan Sabah 3-0 dengan Abdul Shukor Jusoh menjaringkan dua gol pada
separuh masa pertama sementara Bunyamin Umar menambah satu lagi gol
melalui sepakan penalti di babak kedua.
Biarpun lebih dikenali bermain bek kiri dalam pasukan Harimau Malaya,
Asraruddin mengakui dia sebenarnya lebih selesa beraksi di bahagian
tengah.
"Mana-mana posisi tidak menjadi masalah tetapi saya lebih gembar bermain di posisi tengah berbanding di sebelah kiri.
"Jika saya bermain dengan Ramez sepanjang musim ini di posisi tengah,
ia bukan satu masalah dan memang itu yang saya harapkan, " katanya.
Berehat panjang pada penghujung musim lalu sehingga tidak dapat membantu Red Giants
pada persaingan Piala Malaysia kerana mendapat kecederaan lutut,
Asraruddin mengakui yang dia semakin hampir meraih kecergasan
sepenuhnya.
"Perlawanan ini (berdepan Sabah) adalah aksi pertama saya selama 90
minit setelah pulih daripada kecederaan dan saya rasa gembira dengan
perkembangan ini
"Sebelum ini, saya hanya bermain selama 15 minit sewaktu perlawanan
terakhir di Piala Gabenor Acheh menentang DPMM Brunei (penentuan tempat
ketiga), " katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.