KELANTAN gagal meraih tiga mata penuh pada penampilan sulung saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Juara Liga Super 2011 itu sekadar mengutip satu mata apabila terikat tanpa jaringan menentang kelab Vietnam, Navibank Saigon pada perlawanan Kumpulan H yang berlangsung dalam keadaan hujan dan padang becak. Tuan rumah kendalian Bojan Hodak menurunkan empat pemain import dalam kesebelasan utama namun ‘lemas’ pada peringkat awal penampilan pertama mereka di pentas Piala AFC.
Akibatnya pelawat hampir membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi penyerang importnya dari Colombia, Edison Fonseca Pulgarin namun Khairul Fahmi Che Mat tangkas menutup ruang.
Tersentak dengan itu, The Red Warriors bangkit meningkatkan rentak permainan dan mendapat beberapa peluang namun gagal menemui sentuhan penyudah termasuk sepakan penalti yang dinafikan pengadil selepas Mohamad Ghaddar dijatuhkan pada penghujung babak pertama.
Keadaan padang semakin becak pada babak kedua menyukarkan kedua-dua pasukan melancarkan serangan ketika jaringan amat dinantikan kira-kira 3,000 penonton yang hadir.
Kedua-dua pasukan cuba mengatur serangan ke kubu lawan namun keadaan padang jelas mengganggu hantaran dan gerakan direncanakan.
Namun Kelantan yang dilihat menguasai babak kedua mendapat dua peluang terbaik menerusi Nwoha Onyekachi dan Ghaddar yang dinafikan kecekapan penjaga gol lawan, Santos.
Sementara itu kelab Indonesia, Arema FC terikat 1-1 menentang Ayeyawady United dari Myanmar dalam satu lagi aksi Kumpulan H.
--- HARIAN METRO
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.