KUALA LUMPUR - Dua kemenangan mudah dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) menjadi bukti pasukan bawah 23 tahun negara itu kini berada dalam kelas tersendiri selepas melalui lima perlawanan sukar pusingan akhir kelayakan Olimpik.
Itu penegasan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang menolak 'cakap-cakap belakang' bahawa kualiti persaingan Liga-S bagaikan 'tiada kelas' tetapi menunjukkan tahap kematangan dan pengalaman anak-anak buahnya sudah semakin meningkat.
''Bukan (Liga-S) tiada kualiti tetapi dua kemenangan awal ini menunjukkan keyakinan para pemain sebenarnya berada di tahap berbeza selepas menempuh lima perlawanan sukar dalam kelayakan Sukan Olimpik.
''Memang kita tidak boleh bandingkan kualiti antara skuad negara-negara yang bertanding dalam kelayakan Olimpik dengan pasukan yang bersaing dalam Liga-S, namun segala pengalaman yang mereka dapat semasa kelayakan Olimpik jelas banyak membantu.
''Lihatlah sahaja cara dan masa mereka jika mereka bermain dalam kelayakan Olimpik ketika bertemu Jepun atau Syria, mereka tidak mempunyai masa yang banyak untuk membuat keputusan sama ada melakukan hantaran atau membuka serangan, jadi ia banyak memberikan kesan positif semasa mereka bermain dalam saingan Liga-S.
''Cara permainan mereka juga semakin matang dan ia menjadi rahsia mengapa kami dapat membuka langkah dengan baik pada persaingan Liga-S, " demikian tegas jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee.
Pada perlawanan pertama, Harimau Muda A menang 2-0 ke atas Gombak United sebelum melakarkan kemenangan kedua 3-0 ketika bertemu Tanjong Pagar dan kini berada di tangga ketiga liga.
Walaupun begitu, Kim Swee memberi amaran anak-anak buahnya belum teruji sepenuhnya kerana belum berdepan pasukan-pasukan yang kuat seperti juara bertahan, Tampines Rovers, Home United dan pendahulu, Albirex Niigata.
--- UTUSAN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.