RENTAK permainan berbeza bakal disajikan Kelantan apabila turun mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Keadaan padang Stadium Nasional yang baik amat diharapkan pengendali barunya, Peter James Butler agar pemain The Red Warriors mampu menghadirkan corak permainan menyerang yang menarik selepas negeri Pantai Timur itu sering dilanda hujan hingga menyebabkan padang becak yang seterusnya menjejaskan aksi mereka.
“Padang kelihatan bagus, kami mahu memberikan permainan yang menarik namun pemain perlu berdisiplin ketika menyerang atau pun bertahan kerana peluang untuk meraih kemenangan adalah seimbang walaupun kami dianggap sebagai pasukan pilihan. Namun kami tidak hadir untuk mencatatkan keputusan seri atau kalah,” katanya berkeyakinan mempertahankan piala rebutan di awal musim Liga Malaysia itu.
Butler yang menegaskan anak-anak buahnya sudah bersedia untuk menghadapi aksi penting itu tetap mengingatkan semua pihak harus memahami ia bukanlah seratus peratus sempurna apabila sesebuah pasukan turun beraksi buat kali pertama.
“Ini adalah perlawanan kompetitif pertama, mungkin adalah kelemahan yang perlu diperbaiki dalam beberapa perlawanan selepas itu. Pemain import kami, Muhamad Ghaddar masih memerlukan lebih banyak masa bagi menyesuaikan diri dalam membentuk persefahaman bersama pemain lain.
“Namun Antwi Dennis Agyare mempamerkan aksi yang bagus sepanjang pra-musim terutamanya dilihat tidak mementingkan diri apabila turun beraksi dalam aksi persahabatan,” katanya yang dijangka menggandingkan Ghaddar, Antwi serta Norshahrul Idlan Talaha untuk mengetuai jentera serangan.
Dua bekas pemain Kelantan yang kembali musim ini, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Nor Farhan Muhammad dijangka membentuk barisan tengah bergandingan bersama-sama Mohd Shakir Shaari dengan empat tonggak tempatan terus menjadi taruhan di benteng pertahanan selain Khairul Fahmi Che Mat mengawal gawang gol.
--- Harian Metro
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.