PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan membuat keputusan drastik dalam memilih barisan pemain import yang akan menggalas cabaran The Red Warriors untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan musim hadapan.
Presidenya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, pihaknya tidak sekali-kali akan mengambil pemain berdasarkan rakaman video mahupun perakuan yang dikeluarkan oleh agen pemain tersebut.
"Kadang kala aksi yang mereka tonjolkan tidak selaras dengan perakuan yang dibuat, jadi Kafa mesti berhati-hati dalam soal memilih pemain import ini.
"Musim hadapan kita akan beraksi dalam saingan AFC dan usaha mengenal pasti pemain import perlu dilakukan sebaik mungkin" katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara Kelantan dengan Songkhla FC dari Thailand di Stadium Sultan Muhammad IV malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut Kelantan menguji empat pemain import dari Crotia, Ghana dan Malawi. Pemain tersebut ialah Jocip Bonancing (Crotia), Chikondi Mplula (Malawi), Emannual Okime dan Denny Antwi (Ghana).
Dalam aksi persahabatan itu The Red Warriors yang tidak menurunkan barisan utamanya tumbang 1-3 kepada skuad bimbingan bekas bintang importnya era 2005 iaitu Worrawoot T Srimaka.
The Red Warriors yang beraksi di gelanggang keramat mereka terlebih dahulu mengegar jaringan seawal minit pertama menerusi jaringan Mplula.
Gol-gol kemenangan Songkhla FC di hasilkan oleh Manop Sornkhaw (minit ke-71), Lee Swa Seub (minit ke-75) dan Siroj Mibun (minit ke-77).
Mengulas mengenai aksi pertemuan dengan Songkla FC, Annuar memberitahu perlawanan tersebut hanyalah untuk menguji kemampuan empat pemain import tersebut.
"Apa yang kita nampak keserasian di kalangan mereka sedikit kelam kabut. Namun apa yang penting saya sedang memerhatikan pemain import yang sedang diuji. Saya ada satu kumpulan yang akan membuat penilaian dan saya tidak boleh memberikan apa-apa komen setakat ini," ujarnya.
--- KOSMO
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.