KOTA BHARU - Meskipun dihimpit masalah penjaga
gawang yang cedera dan menggalas tugas bersama skuad kebangsaan,
penyandang juara Piala Malaysia, Red Warriors sudah bersedia untuk
menghadapi perlawanan pembukaan Piala Malaysia menentang Sarawak, esok.
Ketua jurulatih, Datuk M. Karathu berkata, sesi latihan yang bermula
Jumaat lalu, digunakan sebaik mungkin dalam memantapkan pasukan bagi
menghadapi perlawanan pembukaan nanti.
Menurutnya, segala persiapan berjalan lancar dan semua pemain berada
pada tahap terbaik menjelang aksi pertama di Stadium Kuching, Sarawak.
"Kemenangan dalam perlawanan pertama bertemu Serawak perlu diraih.
Ini penting sebagai bekalan semangat bagi mengharungi saingan peringkat
kumpulan selepas ini.
"Begitupun saya tidak mahu mengambil mudah perlawanan dengan Sarawak.
Walaupun Sarawak beraksi dalam saingan Liga Perdana, kemampuan pasukan
ini tidak boleh di pandang rendah," katanya ketika ditemui Utusan
Malaysia pada sesi latihan, semalam.
Karathu memberitahu, saingan Piala Malaysia berbeza dengan saingan
liga dengan setiap pasukan pastinya menampilkan aksi yang berbeza.
"Setiap pasukan yang bertemu dengan Kelantan pasti akan bermain mati-matian dan cuba untuk menewaskan kami.
"Sebagai pasukan juara Liga Super dan Piala Malaysia kami perlukan ketepikan reputasi tersebut, sebaliknya berusaha lebih keras.
"Saya mahu pemain mempamerkan aksi terbaik dan memberikan tumpuan
sepenuhnya serta bermain sebagai satu pasukan bagi memastikan kami
berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan," katanya.
Tambah Karathu, semua pemain bebas daripada kecederaan kecuali Zairul Fitree Ishak dan R. Surenderan.
"Zairul Fitree semakin pulih, namun masih belum dapat beraksi. Jadi
saya akan tunggu sehingga dia pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang
dialaminya.
"Surenderan pula masih lagi bergelut dengan kecederaan. Saya harap
dia mampu pulih dalam masa terdekat untuk membantu pasukan," katanya.
Mengulas mengenai jentera serangan, Karathu berkata, serangan
pasukanya yang diketuai oleh Norshahrul Idlan Tahala bersama gandingan
barunya Azammuddin Mohd. Akil semakin menampakkan keserasian.
"Saya gembira dengan perkembangan ini. Mereka semakin serasi dan ini
memudahkan kerja saya untuk memperkemaskan dan mempertajamkan lagi
jentera serangan pasukan," jelasnya.
----- utusan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.