ANDAI melihat undian dalam Kumpulan C saingan Piala Malaysia, hampir
pasti satu slot ke suku akhir akan menjadi milik juara Liga Super,
Kelantan yang setakat ini sukar dikekang pasukan lain.
Sementara tiga lagi pasukan dalam kumpulan sama iaitu Johor FC, Felda
United dan Sarawak mempunyai peluang seimbang untuk meraih satu slot
lagi dan itulah congakan yang dapat dibaca pengendali Felda United, E
Elavarasan.
Bukan bermakna awal-awal mahu memberi laluan mudah kepada Kelantan, Elavarasan sebaliknya berpendapat skuad kendalian Datuk M Karathu itu sememangnya berada pada prestasi terbaik tetapi beliau menegaskan, anak buahnya tidak akan memberi laluan mudah kepada Kelantan.
“Secara amnya, satu slot mungkin milik Kelantan sementara tiga lagi
pasukan termasuk Felda United, akan merebut satu slot lagi untuk ke suku
akhir.
“Kami harus waspada dengan cabaran Johor FC serta Sarawak kerana seperti kami, kedua-dua pasukan ini juga pasti meletakkan sasaran untuk layak ke suku akhir.
“Dalam erti kata lain, kami perlu beraksi sebaik mungkin pada setiap perlawanan dengan sekurang-kurangnya memungut satu mata,” katanya.
Menjelang perlawanan pertama bertemu Johor FC, esok, Elavarasan
berkata, skuad kendaliannya perlu memanfaatkan sebaik mungkin perlawanan
pertama dengan memungut mata sekali gus mengelak kekalahan.
“Johor FC adalah sebuah pasukan yang bagus, terutama pada saingan liga lalu dan ia bermakna, kami perlu sentiasa waspada ketika bertemu mereka,” katanya.
----- Harian Metro
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.