Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 6, 2011

Tujuh pasukan main pada waktu petang (Kosmo Online)


LAMPU limpah di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu antara yang tidak memenuhi piawaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). - Gambar hiasan


SAINGAN Liga Super 2011 yang akan bermula 29 Januari depan bakal menyaksikan tujuh daripada 14 pasukan bertanding terpaksa bermain pada sebelah petang untuk aksi di gelanggang sendiri.

Kelantan, Terengganu, T-Team, Johor FC, Perak, Harimau Muda A dan Sabah adalah tujuh pasukan yang terlibat kerana lampu di stadium yang mereka gunakan untuk aksi di tempat sendiri tidak mencapai tahap pencahayaan minimum 800 lux seperti yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ia melibatkan enam stadium iaitu Stadium Sultan Muhammed IV (Kota Bharu), Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (Kuala Terengganu), Stadium JCorp (Pasir Gudang), Stadium Perak (Ipoh), Stadium MBPJ (Kelana Jaya) dan Stadium Likas (Kota Kinabalu).

Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud yang juga Ketua Jabatan Pertandingan FAM berkata, perlawanan pada sebelah petang akan kekal dilaksanakan di enam venue tersebut andai pemeriksaan kedua esok tetap dengan keputusan negatif.

“Pada pemeriksaan pertama yang telah kita lakukan pada 20 Disember lalu, pencahayaan lampu limpah di keenam-enam stadium ini didapati gagal mencapai tahap minimum 800 lux.

“Jadi kita minta mereka atasi kekurangan tersebut jika mereka tetap mahu bermain pada sebelah malam dan pemeriksaan kedua akan dibuat pada 7 Januari (esok).

“Hasil pemeriksaan kedua akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) pada 10 Januari ini dan keputusan akhir akan dibuat selepas itu,” kata Ahmad Fuad ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jika venue-venue terbabit masih gagal melepasi tahap minimum itu, maka aksi tempat sendiri bagi Kelantan, Terengganu, T-Team, Johor FC, Perak dan Harimau Muda A musim ini akan berlangsung pukul 4.45 petang manakala Sabah pada pukul 4.15 petang.

Namun andai melepasi tahap minimum 800 lux itu, mereka akan dibenarkan kembali beraksi pada sebelah malam.

Baki tujuh pasukan lain yang tidak menghadapi masalah untuk beraksi pada waktu biasa iaitu pukul 8.45 malam ialah Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Felda United.

Aksi Liga Super 2011 bakal berlangsung setiap Selasa dan Sabtu dengan perlawanan sulungnya pada 29 Januari depan manakala perlawanan ke-26 (terakhir) dijadual pada 30 Julai depan.

Hanya satu perlawanan berlangsung sepanjang Januari, empat perlawanan Februari, dua perlawanan Mac, sembilan perlawanan April, lima perlawanan Mei, tiga perlawanan Jun dan dua perlawanan pada Julai.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...