Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 10, 2011

Safee terus hasrat (Harian Metro Online)

PENYERANG kebangsaan yang kini menjadi buruan kelab Indonesia, Mohd Safee Sali (gambar) seakan sudah tidak mahu menoleh ke belakang lagi apabila tetap mahu meneruskan hasrat berkelana di luar negara dengan kelab Persib Bandung yang kini menjadi pilihan utama.

Walaupun keputusan itu masih belum dimuktamadkan lagi dengan perbincangan antara majikannya, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan kelab Liga Super Indonesia akan diadakan dalam tempoh terdekat ini, penjaring terbanyak Piala AFF itu yakin dengan perkembangan positif setakat ini.

“Memang hasrat saya ketika ini mahu bermain di sana (Indonesia). Sebagai pemain profesional, saya perlu bersedia menyahut cabaran ini. Tapi masih ada perkara perlu diselesaikan, kelab yang mahu menggunakan khidmat saya itu akan mengadakan perbincangan dengan FAS dalam tempoh seminggu dua ini.

“Apa saya boleh katakan, kedudukan sekarang 70 peratus saya akan ke luar negara. Jika perkara ini menjadi kenyataan saya mungkin akan pergi ke sana dan beraksi pada musim baru Mei ini. Saya masih ada kontrak dengan Selangor sehingga November depan dan masih sempat bermain dengan Selangor,” katanya.

Aksi lincah Safee, 26, yang meledak lima gol untuk membantu Malaysia mengakhiri kemarau 14 tahun kejuaraan pertama Piala AFF berjaya memikat tiga kelab negara jiran, Persib Bandung, Pelita Jaya dan Balikpapan manakala sebuah kelab dari Vietnam yang dikatakan berminat sebelum ini sudah tidak memberikan maklum balas.

Ketika ditanya apakah kelab yang menjadi pilihan utamanya, dia lebih cenderung untuk beraksi dengan Persib Bandung, antara kelab paling berjaya di Indonesia dengan menduduki tangga keempat liga utama Indonesia musim lalu.

“Saya lebih berminat dengan Persib Bandung, mungkin kerana jarak...saya pernah pergi ke sana sebelum ini. Jika berpindah ke Bandung saya akan membawa bersama keluarga saya. “Memang banyak yang perlu fikirkan tapi sudah tiba masanya untuk saya menguji nasib di luar. Saya fikir ini baik untuk perkembangan karier saya dan juga bola sepak negara,” katanya.

Malah Safee juga tidak gentar untuk berdepan penyokong fanatik Indonesia yang mungkin akan mengecam dirinya kerana menjadi tunjang kejayaan Malaysia menewaskan pasukan kebangsaan mereka di final Piala AFF menerusi agregat 4-2.

“Saya tidak fikir itu satu masalah. Setiap pasukan mempunyai penyokong fanatik jadi saya perlu bersedia,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...