SEKALI PUN mencatat keputusan seri 1-1 dengan Sime Darby FC dalam perlawanan persahabatan di Paroi, malam kelmarin, Negeri Sembilan yakin akan kemampuan mereka untuk mencapai kejayaan pada cabaran Liga M pada 29 Januari ini.
Kapten pasukan, Mohd Shukor Adan (gambar), berkata keputusan itu tidak mengambarkan kekuatan sebenar kerana ketika ini setiap pemain dalam proses meningkatkan kemantapan terutama dari segi persefahaman dalam menggerakkan jentera pasukan.
Menurutnya, walaupun keputusan itu kurang memuaskan, secara keseluruhannya setiap pemain berusaha menunjukkan persembahan terbaik.
“Justeru, tidak hairanlah kadangkala keputusan perlawanan persahabatan itu tidak sepertimana diharapkan namun hakikatnya kami sedang berusaha untuk mencapai tahap terbaik sebelum mengharungi cabaran sebenar,” katanya semalam.
Bagi Shukor, banyak kemajuan sudah dicapai pasukan, terutama dirinya sendiri yang sudah bersedia untuk menggalas cabaran bersama gandingan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak di bahagian pertahanan.
Menurut bekas pemain kebangsaan itu, penekanan yang diberikan dalam latihan ketika ini adalah lebih kepada bagaimana untuk menterjemahkan taktikal yang dirangka jurulatih bagi menjadikannya berkesan untuk membantu pasukan mencapai kemenangan.
Katanya, memandangkan terdapat tujuh pemain baru dalam skuad kali ini, sudah tentu usaha bagi menterjemahkan perancangan mengambil masa, namun pihaknya yakin melalui komitmen semua pemain, matlamat itu akan tercapai dan kemantapan sebenar pasukan akan terserlah.
“Kami akan bertemu Polis dalam perlawanan berikutnya 22 Januari ini dan saya yakin tahap keyakinan setiap pemain akan memuncak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.