Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, January 11, 2011

Belum ada kata putus (Metro)


KENA SERBU...pelancong asing turut mendapatkan tandatangan Safee dan Amirulhadi Zainal ketika sesi bertemu peminat di One Utama, kelmarin.

JIKA penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali menganggap hasratnya beraksi di luar negara semakin hampir menjadi kenyataan, sebenarnya ia tidak semudah disangka kerana majikannya, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) belum rela melepaskannya.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, walaupun pihaknya memahami hasrat pemain itu untuk mengembangkan kariernya selepas mendapat tiga tawaran daripada kelab Liga Super Indonesia (ISL), perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan memandangkan masih tiada perbincangan rasmi dibuat.


“Kami faham hasrat Safee untuk bermain di luar negara tapi tak semestinya apabila memahaminya kami akan melepaskannya. Safee masih mempunyai kontrak bersama Selangor sehingga November ini, jadi hak kami sama ada mahu lepaskan dia atau tidak.

“Perkara ini belum diputuskan lagi kerana banyak prosedur perlu diambil dan keputusan yang akan dibuat itu nanti bukan saja mengambil kira kepentingan FAS semata-mata sebaliknya untuk Safee juga, tidak guna kami menerima tawaran itu jika tidak bagus untuk dia,” katanya.


Kisah Safee yang mahu berhijrah ke luar negara mula mendapat perhatian apabila dia dilapor menerima tawaran daripada tiga kelab utama Indonesia selepas pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan aksi terbaik ketika membantu skuad kendalian K Rajagobal menjulang trofi Piala Suzuki AFF bulan lalu.


Ketika ditemui pemberita pada majlis meraikan kejayaan skuad kebangsaan anjuran Nike kelmarin, pemenang Kasut Emas kejohanan itu menyuarakan tekadnya untuk menguji nasib bersama kelab di Indonesia dengan menganggap kedudukannya setakat ini 70 peratus akan ke luar negara.

Malah, penggempur kelahiran Kajang yang membantu Selangor menjuarai Liga Super musim lalu turut mengakui dirinya lebih berminat menyarung jersi Persib Bandung berbanding dua lagi kelab, Pelita Jaya dan Persiba Balikpapan.


Bagaimanapun, Hamidin tidak mahu mengulas lanjut mengenai kenyataan Safee itu dengan mengesahkan pertemuan dengan kelab berkenaan akan diadakan minggu ini.

“Saya akan berbincang dengan kelab yang berminat mendapatkan Safee minggu ini. Sebelum ini ada wakil daripada satu kelab sudah berjumpa saya di Jakarta tapi buat masa ini saya tidak mahu komen kerana hasil pertemuan itu akan dibincangkan dengan Exco FAS,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...