Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, November 13, 2010

Jangan ‘jentik’ (Harian Metro Online)

Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my

KALAU Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berhasrat untuk menegakkan keadilan atau mungkin ‘menjentik’ emosi pihak-pihak tertentu di dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lebih baik lupakan saja kerana apa yang cuba ditimbulkan kelmarin sebenarnya adalah silap PBNS sendiri.

PBNS sepatutnya merujuk terlebih dulu kepada buku panduan yang dikeluarkan FAM dan perkara 3.18:1 di dalam buku berkenaan di bawah tajuk Peraturan Dalam Liga Malaysia dan Kelayakan Pasukan ke Sumbangsih sudah menerangkan secara lengkap berhubung perkara yang cuba dijadikan isu oleh badan induk itu.

“Mereka sepatutnya merujuk terlebih dulu buku panduan yang sudah diedarkan FAM kepada mereka. Bukan saja PBNS malah semua pasukan yang bertanding di dalam Liga-M ada menerima buku panduan berkenaan. Peraturan yang menyebut mengenai pasukan mana yang layak bertanding di dalam Piala Sumbangsih tertera dengan jelas di dalam buku itu.

“Bukan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang menentukan siapa yang layak bertanding sebaliknya ia adalah arahan Fifa sendiri. Saya terkilan apabila perkara itu dibangkitkan kerana pegawai di dalam PBNS sepatutnya menyalurkan maklumat yang tepat dan betul kepada pemimpin mereka supaya tidak timbul masalah sebegini,” kata Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar).

Hamidin adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM dan tuduhan yang dilemparkan oleh PBNS itu memang kena tepat kepada jawatankuasa yang dipegang oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu.


Kelmarin, PBNS menerusi Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan rasa tidak puas hati apabila perlawanan Piala Sumbangsih musim depan menemukan Kelantan selaku juara Piala Malaysia dengan Selangor yang muncul juara Liga Super 2010 sedangkan sebelum ini, perlawanan yang menjadi pembuka tirai Liga-M itu menemukan juara Piala Malaysia dengan juara Piala FA.

Negeri Sembilan adalah juara Piala FA 2010 dan keputusan yang dibuat FAM itu dianggap seolah-olah tidak profesional selain tidak mengutamakan kepentingan pasukan yang bertanding di dalam Liga-M.

“Memang sebelum ini pertemuan Piala Sumbangsih adalah di antara juara Piala Malaysia dengan juara Piala FA tetapi selepas menerima arahan Fifa, Pengerusi JKPT ketika itu iaitu Datuk Che Mat Jusoh sudah membuat perubahan dan perubahan itu mendapat kelulusan majlis FAM pada 29 Disember tahun lalu.

“PBNS turut menghantar wakil dan saya tidak fikir mereka tidak tahu menahu mengenai perubahan itu. Kalau itulah yang berlaku, maka PBNS harus meletakkan kesalahan itu kepada Setiausaha Kerja mereka iaitu Datuk Ibrahim Shamsudin kerana beliau adalah wakil PBNS ke mesyuarat FAM,” kata Hamidin.

Apa yang membuatkan Hamidin kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan PBNS itu ialah sudah ada pihak yang menuding jari ke arahnya dan mendakwa beliau sebagai dalang utama yang membuat keputusan supaya Selangor beraksi di dalam Piala Sumbangsih demi menjaga hati majikannya iaitu FAS.

“Perkara mengenai pasukan yang layak bertanding pada Piala Sumbangsih sudah diputuskan hampir setahun lalu dan ia adalah arahan Fifa dan bukannya FAM memandai-mandai mengubah itu dan ini. Nasihat saya, mana-mana persatuan bola sepak negeri yang mahu membangkitkan rasa tidak puas hati atau sebagainya, mereka hendaklah mendapatkan maklumat yang tepat terlebih dulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...