Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, June 11, 2011

Dulu kawan kini lawan


KOTA BHARU – Hampir dua dekad lalu, Datuk M Karathu dan Irfan Bakti Abu Salim pernah bersama-sama berganding bahu, membantu Kelantan mencipta sejarah layak ke saingan separuh akhir Piala Malaysia sebelum ditumpaskan oleh Kedah menerusi agregat 4-2.

Namun situasi kali ini cukup berbeza, di mana kedua-dua mereka terpaksa melupakan seketika hubungan persahabatan mereka selama 90 minit. Ini kerana, Karathu kini kembali mengemudi pasukan Kelantan setelah meninggalkannya 18 tahun lalu, sementara Irfan Bakti yang gemar berkelana kini bersama Terengganu untuk musim kedua berturut-turut.

Malam ini, pentas perlawanan akhir Piala FA edisi ke-22 di antara Terengganu bertemu Kelantan bakal menyaksikan pertemuan kembali antara ‘guru dan anak murid’nya setelah sekian lama terpisah.

Bagi Karathu sendiri, pertandingan Piala FA begitu nostalgia baginya, apatah lagi beliau merupakan jurulatih pertama negara yang berjaya menjulang piala tersebut pada tahun 1990, yang menyaksikan pasukan kendaliannya, Perak mengalahkan Selangor 4-2 dalam perlawanan akhir.

Setidak-tidaknya, sudah pasti kegagalannya membawa Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 18 tahun lalu terubat dengan menghadiahkan piala yang diidam-idamkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa setelah gagal dalam percubaan pertama beliau ketika Kelantan dibimbing Peter James Butler dua tahun lalu.

Sementara itu, Irfan Bakti, 51 tahun, jurulatih yang disifatkan penuh pengalaman dalam merencanakan taktikal, sudah pasti tidak mahu terlepas peluang untuk membantu Terengganu merangkul kejuaraan setelah pasukan Sang Penyu kali terakhir menjulang piala itu kira-kira 11 tahun lalu.

Namun ada misi peribadi bagi Irfan Bakti, betapa beliau sendiri sebenarnya memburu kejuaraan kali kelima sepanjang kariernya bergelar jurulatih. Kali terakhir beliau menjulang Piala FA ialah pada tahun 2002, di mana ketika ini beliau mengemudi Pulau Pinang mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak dalam perlawanan akhir.

Baik Terengganu mahupun Kelantan, kedua-dua tidak mahu kecewa lagi dan mempunyai alasan yang tersendiri untuk menjulang piala pada edisi kali ini. Namun penentuan sebenar hanya berkisar oleh perwatakan sang juara 22 pemain, yang akan berentap sepanjang 90 minit atau mungkin juga berlarutan sehingga masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.

Bagi Irfan Bakti dan M Karathu, keduanya sudah menurunkan segala ilmu kepada anak didik mereka masing-masing. Tinggal lagi penentuan nasib bersandarkan kepada perjalanan skrip oleh 22 pemain di atas padang Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

----- Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...