Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
ANNUAR menunjukkan senarai baru pemain bola sepak Kelantan untuk musim 2010 di pejabat Kafa, semalam. |
KEKECEWAAN menjuarai Piala Malaysia sekadar menguatkan lagi azam Kelantan untuk tampil lebih perkasa musim depan, apabila menamakan penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussin dan Akmal Rizal Rakhli dalam senarai 25 pemainnya untuk mengharungi saingan Liga Super 2010.
Kehadiran dua pemain dari UPB-MyTeam dan Kuala Muda (KM) Naza itu juga menyaksikan penjaga gol kontroversi, Halim Napi dan penyerang, Khalid Jamlus diketepikan bersama empat lagi pemain skuad musim ini, manakala lima lagi pemain dibawa masuk.
Turut bergelar The Red Warriors kini ialah dua lagi pemain MyTeam - Nor Shahrul Idlan Talaha (penyerang) dan Shakir Shaari (tengah) - bekas pertahanan KM Naza, Azizi Mat Rose; bekas kapten Perak, S Subramaniam (pertahanan) dan penyerang Pulau Pinang, S Chanturu.
Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) juga sedang dalam rundingan mendapatkan khidmat pertahanan kebangsaan yang kini beraksi bersama KL Plus, Nor Hafiz Zamani Misbah, sebelum menumpukan perhatian menghadapi musim baru yang bermula Januari depan.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, ketika mengumumkan senarai pemain terbabit, berkata semua pemain berkenaan sudah menandatangani kontrak bersama Kelantan dan akan diperkenalkan kepada peminat pada majlis di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Sabtu ini.
"Sebahagian besar pemain musim ini termasuk kapten, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Mohamad dan Azlan Zainal dikekalkan selepas pengurusan berpuas hati dengan prestasi mereka terutama kejayaan memasuki final Piala FA dan Piala Malaysia.
"Kami berharap kehadiran tujuh pemain yang masing-masing mempunyai kelebihan dan pengalaman tersendiri itu dapat mengatasi kelemahan ketara Kelantan musim ini terutama di posisi penjaga gol, pertahanan dan tengah," katanya.
Annuar berkata, Kafa sudah mengemukakan tawaran kepada Halim untuk mengisi jawatan penolong jurulatih kepada penjaga gol kerana pengalaman luasnya dalam liga tempatan dan Kafa kini masih menunggu jawapan daripada pemain berusia 38 tahun itu.
"Khalid pula diketepikan kerana pada musim depan kerana kami mahu mengamalkan corak permainan pantas yang menuntut setiap pemain memiliki tenaga, daya tahan dan stamina dan atas sebab itu kami membawa masuk pemain baru yang lebih pantas," katanya.
Beliau turut mengumumkan B Sathianathan terus diberikan kepercayaan memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih bersama pembantunya, Hashim Mustapha, Sidek Shamsuddin dan Ismail Bakar.
--- BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.