PENGENDALI skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee mengakui skuad kendaliannya meraih pengajaran berguna selepas gagal mengekalkan momentum kemenangan sebaik tumpas 0-3 kepada Home United dalam aksi Liga Singapura 2012 di Stadium Yishun, Singapura malam kelmarin.
Biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan, Kim Swee menegaskan Harimau Muda perlu bijak mengatasi kelemahan terutamanya ketika menyerap asakan pantas lawan.
Kepintaran pemain Home United memanfaatkan sepakan penjuru, katanya, juga mengundang padah sehingga gagal meraih tiga mata berharga.
"Biarpun kecewa, sedikit sebanyak kekalahan ini dijadikan iktibar buat kami bagi mengenal pasti beberapa kelemahan.
"Jadi, saya menuntut kebangkitan pemain apabila berdepan Woodlands Wellington di tempat lawan pada Sabtu depan," katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam perlawanan kelmarin, Frederic Mendy muncul wira pelawat apabila meledak dua gol pada minit ke-37 dan 53 sekali gus muncul penjaring terbanyak Liga S setakat ini dengan 19 gol.
Penyerang veteran, Indra Sahdan Daud kemudiannya melengkapkan kemenangan bergaya Home United menerusi jaringan menarik pada masa kecederaan.
Dengan keputusan itu, Home United kini memintas kedudukan Harimau Muda di tangga keempat liga apabila mengutip 35 mata, tiga mata di depan skuad muda negara yang begitupun kurang beraksi dua perlawanan.
Selepas berdepan Wellington, Harimau Muda akan melayan kunjungan Balestier Khalsa (27 September) dan Gombak United (30 September) di Stadium Yishun.
Bagi aksi sepanjang Oktober pula, Harimau Muda akan membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan (20 Oktober) sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari kemudian. Mereka akan menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November depan.
--- KOSMO
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.