ALOR SETAR - Kecuaian benteng pertahanan menjadi punca utama Kedah sekadar seri 2-2 di Stadium Darul Aman kelmarin, sekali gus memberi laluan kepada Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala FA dengan agregat 3-3, kata jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan.
Kelantan ke perlawanan akhir Piala FA bertemu Sime Darby dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.
"Kami dihukum dengan kesilapan pertahanan. Saya telah ingatkan pemain bahawa dua gol awal yang kami peroleh tidak menjamin dapat melangkah ke peringkat seterusnya.
"Ini kerana Kelantan amat berbahaya sekiranya pertahanan kami beri ruang kepada lawan membolosi gawang Kedah," kata kepada pemberita selepas perlawanan, kelmarin.
Wan Jamak berkata, kesilapan pertama berlaku pada minit ke-46, apabila pertahanan Kedah gagal menyekat serangan Kelantan yang mendapat sepakan sudut dan memberi ruang kepada import Kelantan Obinna Nwaneri menjaringkan gol pertama mereka.
Wan Jamak berkata, pertahanan Kedah sekali lagi menjadi punca kekalahan pasukan Kenari apabila berlaku salah faham antara pemain pertahanan untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya, menyebabkan Mahmoud Ghadar menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-60.
Katanya, selain itu faktor kegopohan beberapa pemainnya untuk menjaringkan gol menyebabkan mereka gagal menghasilkan jaringan dengan beberapa peluang yang terhidang gagal disudahkan dengan baik.
--- UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.