PERSEMBAHAN menakjubkan pemain import Kedah, Hamidan Mohammed pada dua perlawanan terakhir skuad Kenari perlu diberi pertimbangan sewajarnya oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk mengekalkan pemain dari Ghana itu.
Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, Nor Hasmadi Hamzah memberitahu, ini kerana pemain itu kini berada di kemuncak prestasinya kebelakangan ini.
Katanya, pemain itu sudah menunjukkan kewibawaannya berbanding tujuh perlawanan sebelum ini yang dilihat buntu menuai gol sejak menyertai Kedah awal Februari lalu.
"Hamidan kini sudah menjaringkan lima gol, termasuk satu gol hasil kesilapan pertahanan Perak yang menyepak masuk bola ke gawang sendiri ketika Hamidan mahu menghantar bola kepada rakan sepasukan," katanya.
Justeru, bagi kelab penyokong, mereka sangat berharap Hamidan dikekalkan bersama Kedah kerana tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' dengan tersilap memilih pemain import.
"Hamidan adalah hero bagi dua perlawanan penting Kedah, sekali gus membantu Kedah layak ke pusingan separuh akhir Piala FA dan membantu pasukan mengutip mata penting Liga Super semasa menewaskan Perak minggu lepas," katanya.
Kosmo! Isnin lalu melaporkan, nasib pemain tinggi lampai itu sama ada kekal bersama Kedah atau digugurkan akan ditentukan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KFA hari ini.
Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata, setakat ini beliau tidak menandatangani sebarang surat berhubung pengguguran pemain itu.
Exco kerajaan negeri itu mengulas desas-desus dalam laman sosial Facebook mengenai Hamidan yang akan digugurkan daripada skuad Kedah berikutan prestasi tidak menentu pemain berkenaan.
Menurut Nor Hasmadi, Hamidan dilihat semakin serasi dengan rakan-rakan sepasukannya dan mempunyai kemahiran tinggi sebagai pemain import yang mampu menjaringkan gol.
"Hamidan mula mampu membentuk persefahaman dengan rakan-rakan sepasukan dan mereka mula memahami corak permainan masing-masing," katanya yang percaya Hamidan mampu menjaringkan gol pada perlawanan selepas ini jika terus diberi kepercayaan.
Tambahnya, kewibawaan ketua jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan juga semakin terserlah menerusi strateginya meletakkan Hamidan sebagai penyerang utama.
"Taktik itu ternyata menjadi dan corak hantaran bola semakin baik bagi membantu Kedah meraih kemenangan," katanya.
--- KOSMO
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.