Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, February 26, 2012

Butler diminta pulang

Oleh MOHD NOR ASRI YAACOB
am@hmetro.com.my

ISU Ketua Jurulatih Kelantan, Peter James Butler bertambah ‘kalut’ apabila jurulatih itu didakwa menghilangkan diri selepas direhatkan hingga menimbulkan dilema dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa mengakui ada masalah antara Kafa dan Butler namun tindakan jurulatih itu menghilangkan diri selepas direhatkan mengeruhkan lagi keadaan.

Katanya, Butler dipercayai berada di Kuala Lumpur dan Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim sudah diarah mencarinya selain berharap jurulatih berusia 46 tahun dari England itu kembali ke Kelantan secepat mungkin.

“Kami mahu dengar kemusykilan Butler dan saya juga sudah memberitahunya supaya berterus terang secara bersemuka jika terdapat masalah.


“Kami tidak mahu dia melatih pemain jika dia memiliki masalah kerana bimbang akan menjejaskan pasukan dan sebab itu Kafa bagi dia rehat,” katanya di sidang media di Kafe The Red Warriors, semalam.

Bagaimanapun, Annuar menyifatkan krisis antara Buler dan Kafa hanya di peringkat pengurusan dan boleh diselesaikan dengan baik.

Katanya, Kafa mempunyai pelbagai jawatankuasa dan setiap masalah dihadapi pemain atau pegawai perlu dirujuk kepada jawatankuasa bagi mengelakkan kekeliruan.

“Saya tahu Butler ada masalah dan memintanya supaya berbincang dengan pengurusan dan saya yakin masalah ini hanya berlaku di peringkat pengurusan saja.” Ketika ditanya spekulasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hambra Red Warriors (Army), Bojan Hodak akan menggantikan Butler, Annuar berkata, Kafa perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, namun tidak menafikan pengalaman Hodak lebih luas berbanding Butler.

“Apa yang boleh saya katakan, pengambilan Bojan adalah untuk membantu Kafa dalam tenaga kejurulatihan dan pembangunan Army," katanya.

Sementara itu, Kafa menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat pemaju, Casamesra Sdn Bhd (Casamesra) yang terpilih membina sebuah stadium bola sepak di Bandar Baru Tunjong.


--- HARIAN METRO

KAFA, Casamesra tandangan MoU bina stadium

KOTA BHARU - Impian rakyat Kelantan untuk memiliki stadium bola sepak yang lengkap dengan kemudahan menghampiri kenyataan selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Casamesra Sdn. Bhd. dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Melalui MoU tersebut, Casamesra diberi hak membina stadium tersebut dianggarkan berharga RM300 juta di atas tanah milik Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V seluas lapan hektar di Tunjong dekat sini.

Memorandum itu ditandatangani Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa manakala Casamesra diwakili Pengarahnya, Azhar Mustapha dalam satu majlis yang berlangsung di sini, semalam.

"Kita perlu usahakan pembinaan stadium ini. Kita nak wujudkan KAFA sebagai satu pasukan yang lengkap, punyai rumah sendiri. Kita nak bina stadium ratusan juta sudah tentu tak mampu.

"Jadi, bila Tuanku (Sultan Muhammad V) perkenan tanah di Tunjong, kita tidak mahu lepaskan peluang tersebut. Casamesra telah diberikan hak oleh Tuanku Sultan untuk majukan sebahagian tanah milik baginda yang mahu dibangunkan bandar Diraja Tunjong.

"Mereka (Casamesra) perlukan tuan rumah kepada stadium itu. Jadi, hari ini (semalam) KAFA buat MoU mengatakan kita sanggup untuk jadi tuan rumah kepada stadium ini seperti Stadium Emirates, tuan rumahnya ialah pasukan Arsenal," katanya di sini, semalam.

Menurut Annuar, KAFA hanya menjadi pengurus dan mengendalikan stadium sahaja.

"Saya ingin rayu kepada kerajaan supaya memberikan kelulusan segera untuk urusan pembinaan kerana tanah dah ada, Tuanku dah berkenan, reka bentuk dah ada. Selain itu, sudah ada pihak yang sanggup mengeluarkan belanja untuk menguruskannya. Segalanya dah ada jadi saya harap ia dapat disegerakan," katanya.

Beliau memberitahu, peringkat awal Casamesra mencadangkan pembinaan stadium dengan kapasiti 40,000 penonton, tetapi pihaknya telah membuat perundingan supaya saiznya dikecilkan kepada 30,000 orang sahaja.

"Kita rasa kapasiti 30,000 adalah jumlah yang sesuai dengan bilangan penyokong dan kos pengurusannya yang tidak terlalu tinggi. Selain itu, kita tidak mahu projek ini menjadi projek gajah putih dan KAFA mahu stadium ini merupakan stadium yang dinamik," ujarnya.


--- UTUSAN MALAYSIA

'Nasib baik bukan perlawanan antarabangsa'

KOTA KINABALU - Datuk K. Rajagobal menganggap kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah dalam perlawanan persahabatan di Stadium Likas, Kota Kinabalu kelmarin memadai buat pasukan negara.

Ketua jurulatih negara itu menjelaskan, pemainnya gagal membuktikan kekuatan sebenar apabila tampak keletihan dalam perlawanan tersebut hingga membataskan pergerakan pantas mereka.

''Kita boleh nampak ada sedikit keletihan. Boleh nampak pemain-pemain tidak bermain macam apa saya harapkan, menggerakkan bola dengan pantas. Kami juga tidak berapa agresif.

''Nasib baik ini bukan perlawanan antarabangsa. Sabah bermain dengan agresif dan saya sebenarnya nak lihat macam mana pemain kebangsaan menghadapi situasi seperti ini.

''Saya kira, (perlawanan) ini adalah persiapan yang baik sebelum kita bertandang ke Filipina," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu, malam kelmarin.

Dalam pertemuan itu yang disaksikan lebih 20,000 penonton itu, pasukan Malaysia menewaskan Sabah dengan jaringan 1-0 yang dihasilkan lewat babak kedua perlawanan.

Meskipun beraksi di bawah keupayaan sebenar, pasukan negara berjaya menghasilkan gol tunggal perlawanan menerusi jaringan Amar Rohidan pada minit ke-79.

Malaysia berpeluang membuka tirai jaringan awal tetapi percubaan Sharudin Yakub minit ke-13 tinggi melepasi tiang gol.

Tidak dinafikan, Sabah boleh berpesta gol malam itu selepas menyaksikan kerapuhan benteng pertahanan negara yang gagal menghalang asakan bertali arus Zainizam Marjan, Michael Baird dan Brendan Gan.

Cuma pasukan tuan rumah tidak bernasib baik apabila banyak percubaan yang dilakukan tersasar dan berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Farizal Marlias.

Rajagopal berkata, pemainnya tetap bermain baik di sebalik tekanan dan serangan daripada Sabah.

''Saya mahu lihat dan uji pemain yang saya ganti kerana saya tidak akan tahu (keupayaan) mereka dan kita mungkin tidak nampak corak permainan itu mungkin lebih efektif dengan pertukaran pemain-pemain.

''Hanya saya tidak boleh turunkan Safee Sali sepenuh masa kerana semalam dia cedera dan saya tak nak ambil risiko dan kalau Norshahrul Idlan Talaha ada di sini mungkin peminat boleh melihat kekuatan sebenar pasukan kita," ujarnya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Saturday, February 25, 2012

Harimau Malaya Hanya Sempat Sumbat Satu Gol Menentang Sabah

25 Februari, 2012 00:11 AM

KOTA KINABALU, 24 Feb (Bernama) -- Skuad kebangsaan iaitu Harimau Malaya mengatasi pasukan Liga Super, Sabah 1-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Likas di sini Jumaat malam.

Ahmad Rohidan menjadi penyelamat maruah skuad kebangsaan apabila menjaringkan gol tunggal itu pada minit ke-80.

Beraksi di hadapan kira-kira 20,000 penonton, Malaysia, yang dinobatkan juara Piala AFF Suzuki 2010, nyata mendominasi permainan selepas mendapat peluang awal membuka jaringan menerusi sepakan Mohd Zaquan Adha di luar kotak penalti.

Separuh masa perlawanan menyaksikan Sabah mencipta empat percubaan untuk membolos pintu gawang Malaysia namun gagal.

Pada babak kedua, penonton negeri di Bawah Bayu itu hampa apabila jaringan pemain tengah Rozaimi Abdul Rahman dibatalkan kerana terkena tangan selepas menerima hantaran lintang pemain import Michael Biard pada minit ke-60.

-- BERNAMA

Monday, February 20, 2012

Farhan menjadi


Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
sukan@hmetro.com.my

PEMAIN sayap kanan, Mohd Nor Farhan Muhammad muncul wira The Red Warriors apabila jaringannya pada saat akhir perlawanan ketika menentang Sarawak dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad, Kota Bharu, malam kelmarin berjaya membawa pasukannya ke pusingan kedua.

Mohd Nor Farhan yang berada di bangku simpanan dimasukkan bagi menggantikan penyerang import, Nwoha Onyekachi lima minit sebelum tamat permainan menamatkan debaran kira-kira 15,000 penyokong untuk melihat pasukan kesayangan mara ke pusingan kedua.


Mohd Nor Farhan berkata, dia berharap jaringan kemenangan itu dapat memberinya suntikan semangat untuk terus mempamerkan aksi terbaik dan membantu pasukan Kelantan dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu mengakui belum mencapai tahap sebenar selain sedang berusaha mencari sentuhan bagi memantapkan lagi prestasinya selain bersedia untuk diturunkan dalam setiap perlawanan.


“Saya bersyukur dan puas hati kerana dapat membantu pasukan mara ke pusingan kedua dalam saingan Piala FA namun saya mengakui belum mencapai tahap sebenar dan akan membuat yang lebih baik dalam perlawanan akan datang,” katanya.


Sementara itu, pengurus pasukan, Azman Ibrahim menyifatkan kemenangan Kelantan menewaskan Sarawak 2-1 di laman sendiri sebagai satu perlawanan yang mendebarkan sepanjang 90 minit ia berlangsung.

Azman berkata, dia mengakui kemenangan itu adalah hasil kerja keras pemain namun untuk menewaskan Sarawak yang begitu bersemangat memberi saingan sengit di akhir perlawanan adalah satu situasi yang benar-benar mencemaskan.

--- HARIAN METRO

Nwoha kecewakan peminat Kelantan

KOTA BHARU - Aksi lemah pemain import Kelantan Onyekachi Nwoha sepanjang 83 minit mengecewakan hampir 10,000 penyokong setia The Red Warriors yang hadir menyaksikan perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, kelmarin.

Tanpa sebarang gerakan menarik serta kerap kali kehilangan bola membuktikan dia bukanlah pembelian terbaik buat penyandang juara Liga Super 2011 bagi mengharungi saingan musim ini.

Nwoha yang menggantikan tonggak kebangsaan Lubnan, Mohammad Ghaddar, selepas pemain tersebut gagal menemui sentuhan pemusnahnya, tidak seperti yang diharapkan apabila aksinya tidak setanding dengan tarafnya sebagai pemain import.

Ketua jurulatih Kelantan, Peter Butler ketika ditemui selepas perlawanan menentang Sarawak enggan mengulas mengenai persembahan pemain yang berasal dari Nigeria itu.

"Lebih bagus saya fokus kepada persiapan pasukan untuk perlawanan selepas ini. Pagi Isnin ini mungkin saya akan buat penilaian. Semua peminat yang berada di stadium dan di mana-mana boleh menilainya sendiri.

"Semua pemain bekerja keras tetapi saya boleh tengok dia (Nwoha) belum cergas sepenuhnya. Saya mesti adil dan berikannya masa," katanya.

Pengendali kelahiran Halifa,x England itu membayangkan mahu memberikan peluang kepada pemain tersebut untuk membuktikan kemampuan.

"Saya suka memberikan dia masa untuk membuktikan kemampuan tetapi, saya mahu lihat perkembangan yang bagus dan kita juga mengharapkan dia selalu bermain dengan baik dan menjaringkan gol.

"Saya harap dia dapat gunakan sebaik mungkin peluang ini," ujarnya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Wan Jamak mampu tersenyum bangga


ALOR SETAR - Walaupun terpaksa beraksi dalam hujan lebat kelmarin, kejayaan Kedah membenam PKNS pada saingan Piala FA di Stadium Darul Aman mampu membuatkan ketua jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan tersenyum bangga.

Perjuangan pemain skuad Kenari yang kesejukan berbaloi apabila perlawanan yang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penanti itu berpihak kepada mereka menerusi jaringan 4-2 setelah seri 1-1 selepas aksi 120 minit.

Wan Jamak berkata, pemain sudah menunjukkan peningkatan dalam persembahan mereka sejak tiga perlawanan lalu dan pada pertemuan dengan PKNS itu mereka telah membuktikan kemampuan dengan beroleh kejayaan.

Tambahnya, kesemua pemain telah membuktikan watak sebenar mereka di atas padang dengan berjuang bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan.

"Pemain terus berjuang sepanjang permainan hingga masa tambahan untuk mendapat kejayaan. Apa yang penting pemain sudah mendapat keyakinan dalam aksi dan persembahan mereka," ujarnya kepada pemberita di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Pada perlawanan itu, Kedah terikat 1-1 menerusi gol awal minit keempat oleh penyerang import, Abdel Safi El Fatah sebelum PKNS menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Nazrin pada minit ke-51.

Pada penentuan sepakan penalti jaringan Kedah dihasilkan oleh Mohd. Fauzie Nan, Mohd. Khyril Muhymeen Mohd. Zambri, Abdel Safi dan V. Thirumurugan.

Penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza berjaya menepis sepakan pertama pemain pelawat Sergio Ferreira dan tendangan Kapten Pasukan, Mohd. Fadhil Hashim pula terkena palang.

Gol pasukan lawan dijaringkan oleh Mohd. Fauzan dan Mohd. Khairul Azrin.

Menyentuh aksi dan persefahaman pemain import baru, Hamidan Mohamad, Wan Jamak memberitahu, pemain itu perlu meningkatkan lagi prestasinya.

"Saya sudah berpesan kepadanya. Persefahaman dengan rakan sepasukan perlu ditingkatkan lagi.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong pasukan Kedah yang tidak pernah berhenti menyokong pasukan ini dan kemenangan malam ini adalah hadiah buat mereka," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Dendam Penyu membara

Oleh Siti Airunnisa Alaui

Pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahya (kiri) mengawal bola sambil diasak pemain PDRM, Fauzi Abd. Majid pada perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGGANU - Misi penyandang juara Piala FA tahun lalu Terengganu untuk mempertahankan kejuaraan berada pada landasan terbaik selepas menang besar 4-0 ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perlawanan pembuka tirai di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, kelmarin.

Terengganu terus garang biarpun tanpa kelibat tiga tonggak utama, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi yang bersama skuad Olimpik manakala Faizal Muhammad ditepikan akibat kecederaan.

Pusingan kedua bakal menyaksikan Terengganu menentang Perak yang berjaya mengetepikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0.

Jurulatih skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris mengakui, pertembungan skuad penyu dan seladang dianggap misi membalas dendam ekoran kekalahan kepada pasukan itu awal musim.

"Memang kita akan membalas dendam pada aksi itu nanti tambahan ia merupakan pertemuan kalah mati dan pastinya akan menjadi perlawanan yang sengit kerana masing-masing memburu kemenangan.

"Kita ada kira-kira dua minggu untuk membuat persediaan untuk perlawanan seterusnya dan saya yakin anak buah saya mampu beraksi dengan baik menentang Perak," katanya.

Pada pertemuan kelmarin, Terengganu lebih awal menemui sentuhan jaringan melalui ledakan Abdul Hadi Yahya seawal minit kesembilan memberikan kelebihan pada pasukan itu sebelum Abdul Manaf Mamat menambah jaringan pada minit ke-37 sehingga aksi separuh masa pertama tamat.

Benteng PDRM yang seolah-olah hilang arah pada separuh masa kedua, memberi kelebihan kepada skuad penyu apabila Abdul Manaf menambah koleksi golnya pada minit ke-65 sekali gus menyukarkan laluan PDRM menyaingi pasukan itu.

Percaturan Mat Zan mengeluarkan pemain import Francis Forkey Doe pada separuh masa kedua membuahkan hasil apabila penyerang yang pernah beraksi bersama kelab Al-Ahly dan New York Red Bulls itu berjaya menyumbang gol keempat Terengganu sehingga tamat aksi 90 minit.

Dalam pada itu, Mat Zan yang pernah membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2001 mengakui perlawanan menentang PDRM memberi tekanan kepada pasukannya ekoran keputusan tidak memberangsangkan pada tiga perlawanan lalu.

Bagaimanapun, jurulatih itu melihat tanda positif pada anak didiknya yang bekerja keras mencipta ruang sehingga menjaringkan empat gol.

"Memang pada masa pertama kita sedikit ghairah menyebabkan pemain sering kehilangan posisi, namun babak separuh masa kedua pemain dilihat lebih berdisiplin dan pergerakan bola juga lancar. Kita harap momentum itu dapat dikekalkan pada aksi menentang Perak nanti," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Amukan Gergasi Merah semakin berbisa

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE

AMRI (kiri) sudah mula menemui sentuhan penyudah apabila menjaringkan gol pada aksi menentang Shahzan Muda kelmarin.


LANGKAH 'pendekar' Gergasi Merah, Selangor ketika ini dilihat cukup sukar digugat.

Malam kelmarin, Shahzan Muda menjadi mangsa 'amukan' Merah Kuning itu apabila 'dibedil' di depan penyokong sendiri dengan keputusan 0-4 dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2012.

Ia merupakan rentetan kemenangan yang cukup bermakna buat Gergasi Merah selepas membenam Kelantan 2-1 dalam aksi Liga Super Selasa minggu lepas, sekali gus menutup mulut pengkritik yang meragui persembahan hambar pasukan itu pada permulaan musim ini.

Dengan kemenangan itu, semifinalis Piala FA 2011 itu bakal berdepan bekas 'sifu' mereka, K. Devan di pusingan kedua pada 10 Mac depan selepas Johor FC berjaya mengejutkan juara edisi 2010, Negeri Sembilan di gelanggang lawan dalam satu lagi perlawanan kelmarin.

Sudah pasti, pertemuan 'mata bertentang mata' antara Devan dan jurulatih baharu Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menjanjikan sesuatu yang istimewa buat peminat fanatik Merah Kuning, bagi membuktikan siapa sebenarnya yang lebih hebat.

Irfan begitupun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana menyifatkannya masih terlalu awal untuk menimbang-tara sebarang kemungkinan menjelang pertemuan dengan Sang Lebah di pusingan kedua nanti.

Menurut beliau, pemainnya mahu menumpukan sepenuh perhatian terlebih dahulu menentang Kedah di gelanggang lawan bagi saingan Liga Super pada 3 Mac depan sebelum memikirkan ramuan istimewa bagi mengekang kemaraan anak-anak buah Devan selepas itu.

"Masih terlalu awal (membuat sebarang andaian menentang Johor FC), bagi saya ia tidak ada bezanya dengan perlawanan lain.

"Ia mungkin penting (bagi peminat Selangor) berdepan semula Devan, tetapi saya rasa ia tidak lebih daripada sekadar satu kebetulan," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo! semalam.


--- KOSMO

Sunday, February 19, 2012

Nor Farhan penyelamat maruah Red Warriors

Oleh Norliza Wasilan, Mohd Amin Jalil, Rizar Mohd Noor, Bashah Zainol Abidin dan Kamudin Baharom
bhsukan@bharian.com.my
2012/02/19

 PENYERANG Kelantan, Indra Putra (dua  dari kanan) menanduk     menyamakan kedudukan  ketika bertemu Sarawak   di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam tadi.
PENYERANG Kelantan, Indra Putra (dua dari kanan) menanduk menyamakan kedudukan ketika bertemu Sarawak di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam tadi.

Juara Piala Malaysia kecundang di laman sendiri

FINALIS tahun lalu, Kelantan dipaksa bekerja keras oleh Sarawak sebelum menang 2-1 dalam pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam tadi, manakala juara Piala Malaysia dan juara Piala FA 2010, Negeri Sembilan dikejutkan Johor FC 2-1 di laman sendiri.
Nor Farhan Mohamad yang menggantikan Nwoha Onyekachi pada minit terakhir menjadi wira Kelantan apabila meledak gol kemenangan sebaik dimasukkan selepas Indra Putra Mahyuddin (m-35) memadamkan kelebihan Sarawak hasil jaringan Azizan Baba (m-21).
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, tuan rumah gagal memanfaatkan aksi gelanggang sendiri selepas tunduk kepada Johor FC, 2-1 dengan barisan K Devan lebih menyerlah untuk membuka jaringan pada minit ke-25 menerusi Arthur Henrique yang disamakan Jean Effa Owona (m-29) sebelum Henrique muncul pemusnah sekali lagi pada minit ke-79.

Di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah dan PKNS terpaksa bertarung hingga ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar. Kedah mara ke pusingan kedua dan akan bertemu Perlis selepas menang 4-2 pada sepakan penentuan.

Di Stadium Pasir Gudang, T-Team melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Johor 2-0 hasil jaringan Khairul Izwan Khalid (m-11) dan sepakan penalti kapten, Zairo Anuar Zailani (m-87).

Di Stadium Temerloh, Selangor turut menempah tempat ke pusingan kedua selepas menundukkan Shahzan Muda 4-0 hasil jaringan Bosko Balaban (m-21), Safiq Rahim (penalti m-65, m-72) dan Amri Yahyah (m-81).
Di Stadium UiTM, Shah Alam, pendatang baru Lions XII turut menghangatkan saingan Piala FA musim ini apabila mudah mengatasi UiTM 3-0, hasil jaringan Shaiful Esah, Madhu Mohana dan gol sendiri, Ahmad Shahir Ismail.

Di Stadium Selayang, pertembungan dua pasukan Liga Perdana menyaksikan USM FC yang ketinggalan hanya satu mata di belakang Pos Malaysia dalam saingan liga, mara hasil kemenangan 2-1.

Di Stadium Mini Petronas, Bangi, MBJB FC yang terpaksa beraksi dengan lapan pemain selepas tiga layangan kad merah, terpaksa mengalah selepas dikejutkan 0-3 oleh kelab Liga FAM, KL SPA.

Di Stadium Hang Jebat, Kuala Lumpur mencatatkan kemenangan pertama mereka musim ini selepas mengetepikan pasukan berstatus kelab, MP Muar, 3-0.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, pasukan jemputan dari Kemboja, Preah Khan Reach memulakan aksi Piala FA dengan langkah kanan apabila mengatasi Pulau Pinang, 2-1.

Di Stadium Utama Kangar, Perlis yang berdepan masalah dalam saingan Liga Perdana turut layak ke pusingan kedua apabila menewaskan SDM Navy, 3-0 manakala di Stadium Hang Tuah, NS Betaria membelasah tuan rumah, Melaka Telekom 4-0.

--- BERITA HARIAN

Terengganu, Kelantan mara

Oleh Faizul Azlan Razak
bhsukan@bharian.com.my
2012/02/19

PENYERANG Terengganu, Joseph Kalang Tie (tengah) diasak dua pemain Polis pada saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
PENYERANG Terengganu, Joseph Kalang Tie (tengah) diasak dua pemain Polis pada saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Juara Piala FA 2010 NS pula disingkirkan Johor FC

PENYANDANG juara Terengganu melangkah mudah ke pusingan kedua saingan Piala FA tetapi bakal berdepan cabaran getir bertemu Perak selepas ini, selepas membelasah Polis 4-0 dalam saingan awal di Kuala Terengganu, malam tadi.
Ketika naib juara Kelantan dipaksa berhempas pulas sebelum menang 2-1 ke atas Sarawak ketika masa tambahan kecederaan, juara 2010 Negeri Sembilan pula terpaksa mengucap selamat tinggal lebih awal apabila dikejutkan Johor FC 1-2 di gelanggang sendiri.
Terengganu yang beraksi tanpa dua tonggak pertahanan Olimpik kebangsaan, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, memulakan langkah mempertahankan kejuaraan apabila penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Abdul Hadi Yahaya membuka tirai jaringan buat skuad Mat Zan Mat Aris pada minit ke-10 selepas menyempurnakan sepakan sudut Ismail Faruqi.

Abdul Manaf Mamat menambah dua gol untuk meletak Terengganu selesa di depan, mula-mula hasil umpanan cantik Abdul Hadi ke dalam kotak penalti yang mudah disudahi pada minit ke-38 sebelum menggegar sekali lagi pada minit ke-65.

Francis Forkey Doe memastikan Terengganu menang besar apabila melepasi benteng lawan sebelum menggelecek Al Husairi untuk gol keempat pada minit ke-80.


--- BERITA HARIAN

'Tentera tak bernasib baik'

PEMAIN Perak Akmal Rizal Rakhli (kanan) mengawal bola sambil cuba dihalang pemain Tentera pada saingan Piala FA di Stadium Perak, kelmarin.

Oleh Azizan Hashim
bhsukan@bharian.com.my
2012/02/19


SEMANGAT melawan anak buahnya tetap membanggakan B Sathianathan biarpun Tentera tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tumpas 1-0 kepada Perak di Ipoh, kelmarin.

“Nasib nyata tidak menyebelahi kami kerana gagal mendapatkan gol yang diperlukan walaupun memberi tentangan sengit pada babak kedua.
“Kami kalah melawan. Pemain bangkit untuk mencipta banyak peluang tetapi malangnya gagal melakukan penyudah,” kata jurulatih merangkap pengurus Tentera itu.
Menurut Sathia, dia terpaksa mengubah perancangan dan strategi selepas anak buahnya ketinggalan seawal minit ketiga permainan hasil jaringan Michal Kubala.

“Ia jaringan daripada sepakan percuma dan tiada siapa boleh dipersalahkan.
Berikutan itu kami terpaksa mengamal corak menyerang untuk mencari gol tetapi gagal. Bila itu berlaku benteng Tentera terdedah kepada serangan balas Perak, mujur mereka juga gagal menambah gol.

“Apapun saya berbangga dengan persembahan setiap pemain yang menunjukkan semangat juang kental. Itu petanda baik buat pasukan. Saya memandang ke depan untuk kami mencuba nasib dalam Piala Malaysia pula nanti,” katanya.
Sementara itu jurulatih Perak, Norizan Bakar memuji persembahan anak buahnya yang menunjukkan permainan bermutu untuk menghasilkan kejayaan.

“Tahniah kepada pemain kerana bermati-matian hingga berjaya mengutip kemenangan. Tetapi masih ada kelemahan dan kepincangan yang perlu diperbaiki.
Rehat hampir dua minggu selepas ini akan digunakan untuk mengatasi kelemahan ini.”

--- BERITA HARIAN

Kelantan mara, NS tersingkir


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha terjatuh akibat diasak pemain pertahanan Sarawak dalam perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Mohammad IV , Kota Bharu semalam.


KUALA LUMPUR - Pemain gantian, Farhan Muhammed muncul penyelamat Kelantan, apabila jaringannya pada masa kecederaan membawa juara Liga Super itu ke pusingan kedua Piala FA selepas bangkit menumpaskan Sarawak 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.

Penyandang juara, Terengganu dan juara lima kali, Selangor juga mara menerusi kemenangan selesa 4-0 ke atas lawan masing-masing, manakala T-Team turut layak dengan menundukkan Johor 2-0.

Dalam saingan di Kota Bharu, Kelantan nyaris diheret ke masa tambahan apabila terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan, malah dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat pada minit ke-20 menerusi Azizan Baba, sebelum Indra Putra Mahyudin menyamakan kedudukan di minit ke-33.

Begitupun Farhan yang dibawa masuk pada babak kedua, meledakkan gol kemenangan seminit selepas saingan memasuki masa kecederaan, sekali gus membawa Kelantan menempah pertemuan dengan Kuala Lumpur, yang menumpaskan Majlis Perbandaran Muar 3-0 di Stadium Hang Jebat.

Di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Selangor nyata bukan tandingan Shahzan Muda apabila dua jaringan Safiq Rahim (minit ke-66, 74), penyerang import, Basko Balaban (25) dan gol ke-100 ketua pasukan, Amri Yahya pada minit ke-82 membantu mereka menang besar 4-0.

Selangor akan menentang Johor FC, yang mengejutkan Negeri Sembilan dengan menumpaskan skuad Hobin Jang Hobin 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Kedua-dua jaringan pelawat menerusi Arthuro Bernhat pada minit ke-24 dan 79, manakala gol tuan rumah dijaringkan Jean Emmanuel Effa Owana minit ke-29.

Terengganu pula mengesahkan pertemuan dengan Perak selepas membelasah PDRM 4-0 hasil dua jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-37 dan 65, diikuti Abdul Hadi Yahya (9) dan Francis Doe pada minit ke-79.

Lions XII (Singapura) dan Preach Khan Reach dari Kemboja meneruskan saingan ke pusingan kedua.

Lions XII menjinakkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-0 di Stadium UiTM, Shah Alam untuk bertemu Betaria FC yang menumpaskan Melaka 4-0, manakala Preach Khan Reach menang tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk menempah pertemuan dengan Kuala Lumpur SPA yang menewaskan MBJB FC 3-0.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis selesa menumpaskan SDM Kepala Batas 3-0.


--- UTUSAN MALAYSIA

Felda waspada ancaman Pahang


AZRUL AHMAD (kiri) menjadi taruhan Felda United bagi menggempur kubu Pahang pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.


TAMPIL dalam kelas berbeza tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur kekuatan sesebuah pasukan.

Itu yang diterapkan pengendali Felda United, E. Elavarasan kepada anak- anak buahnya menjelang pertemuan menentang Pahang pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.

Biarpun beraksi dalam saingan Liga Super, Evalarasan tidak mahu barisan kendaliannya memandang rendah keupayaan Pahang yang kini tampil pada kempen Liga Premier.

Elavarasan memberitahu, pasukannya tetap menghormati Pahang yang masih dianggap sebagai salah sebuah pasukan elit tanah air.

Bagi menghadapi Pahang, beliau akan melakukan perubahan dalam skuadnya, sambil berharap dapat menguji tonggak import baharu dari Cameroon, Mahadji Boukal.

“Pahang merupakan salah sebuah pasukan yang hebat. Skuad kendalian Dollah Salleh itu memiliki barisan pemain yang cukup mantap dalam setiap posisi.

“Meskipun mereka beraksi dalam Liga Premier, namun tidak bermakna kami akan beraksi sambil lewa.

“Sebaliknya, kami lebih bersemangat untuk menghadapi Pahang selepas tewas dua perlawanan lalu.

“Saya juga berharap dapat menggunakan khidmat pemain import baharu, Boukal yang dijangka dapat diturunkan pada malam esok (hari ini) selepas mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC),” kata Elavarasan kepada Kosmo! semalam.

Menurut Elavarasan, beliau berharap anak-anak buahnya mampu melakar kemenangan malam ini, sekali gus mengubati kekece- waan selepas tumbang dalam dua perlawanan terdahulu.

Sebelum ini, Felda United tewas 0-3 kepada T-Team dan turut mengalami nasib yang sama apabila kalah 1-2 kepada Sarawak dalam saingan Liga Su- per.

“Kami berharap dapat melakukan permulaan yang baik pada pusingan pertama Piala FA.

“Mungkin ia mampu mengubat kekecewaan kami selepas kekalahan yang dialami sebelum ini.

“Tetapi saya tidak mahu barisan pemain saya terlalu yakin kerana dalam dunia bola sepak, tiada apa yang mustahil,” ujarnya.

Friday, February 17, 2012

Justin mahu Gan, Baird tingkat permainan

Wartawan Sinar Harian
16 Februari 2012
Michael Baird

PENGENDALI Sabah, Justin Ganai mahu gandingan import dari Australia, Brendan Gan dan Michael Baird meningkatkan corak permainan pada perlawanan akan datang.

Katanya, buat masa ini pemain berkenaan masih lagi belum menunjukkan potensi sebenar mereka.

“Saya tiada masalah dengan prestasi Gan dan Baird. Tapi saya masih menanti mereka menunjukkan keupayaan sebenar.

“Apa pun, saya berpuas hati dengan persembahan mereka setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur kelmarin, Justin ternyata gembira dengan permainan dipamerkan anak buahnya.

“Pujian harus diberikan kepada pemain kerana telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan,” katanya yang mahu memperbaiki beberapa kelemahan pemainnya terutama dari segi mencipta peluang untuk menjaringkan gol.


--- SINAR HARIAN

Isu Butler-KAFA selesai


Azman Ibrahim (kanan) bersalam dengan Peter Butler dalam pertemuan di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU - Percanggahan pendapat antara pengendali Kelantan Peter Butler dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selesai apabila kedua-dua pihak mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan kemelut yang timbul.

Setiausaha KAFA, Azman Ibrahim berkata, pertemuan tersebut merungkai segala kemelut yang melibatkan pihak pengurusan dengan pengendali kelahiran Halifax, England itu.

Menurut Azman, isu berkenaan hanyalah salah faham dan mengakui masalah komunikasi menjadi punca kepada tercetusnya konfrontasi kedua-dua pihak.

"Tidak timbul langsung soal campur tangan oleh pihak pengurusan. Ia hanyalah salah faham mengenai pemilihan pemain import baru, Onyekachi Nwoha apabila kita perlu menyegerakan urusan pendaftarannya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam keadaan tergesa-gesa.

"Pemain import ini tiba di Kota Bharu pada 11 Februari lalu dan Butler sendiri sudah dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa kita akan mengambil pemain import keempat.

"Kita tidak sempat memperkenalkan pemain ini kepada beliau dan mungkin di situ timbul salah faham mengenai perkara ini," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil ke atas Butler ekoran kenyataan keras beliau sebelum ini, Azman berkata, ia akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan KAFA yang akan bermesyuarat, esok.


--- UTUSAN MALAYSIA

Thursday, February 9, 2012

Terengganu Rombak Barisan Pemain Hadapi Kelantan

KUALA TERENGGANU, 9 Feb (Bernama) -- Pasukan Terengganu akan membuat rombakan barisan pemain bagi menghadapi perlawanan menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohammad ke-IV di Kota Baharu pada Selasa ini.

Ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris, berkata ia ekoran persembahan yang kurang memberangsangkan ketika aksi menentang Selangor PKNS malam tadi.

Katanya fungsi di beberapa bahagian pasukan itu tumpul dan kurang menjadi lantas beliau membuat keputusan untuk membuat rombakan barisan kesebelasan utamanya.

"Kelantan merupakan seteru utama kami jadi kita perlu satu pasukan yang mantap untuk menyaingi mereka," katanya.

Mat Zan berkata antara yang dilihat paling ketara memerlukan perubahan ialah di bahagian tengah.

Pada aksi padang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi, Terengganu hanya mampu seri 1-1 dengan Selangor PKNS.

Gol tuan rumah dijaringkan oleh pemain import kelahiran Liberia, Francis Forkey Doe pada minit ke-37 sebelum Mohd Helmi Remeli menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat sembilan minit kemudian.

Mat Zan berkata keputusan seri itu meleburkan impian Terengganu untuk berada di takhta Liga Super.

-- BERNAMA

Perak Rampas Kedudukan Pendahulu Liga Super Daripada Kelantan

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Perak merampas kedudukan pendahulu Liga Super daripada Kelantan selepas mencatatkan kemenangan tipis, 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Ipoh, Perak Rabu malam.

Dua gol tuan rumah dijaringkan oleh pemain importnya dari Slovakia, Michal Kubala pada minit ketujuh dan Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri pada minit ke-26 sebelum pemain import lawan Vedran Muratovich menjaringkan gol saguhati menerusi sepakan penalti lapan minit kemudian.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Seladang yang sebelum ini menduduki tangga ketiga untuk menerajui carta liga daripada Kelantan dengan mengumpul 15 mata selepas mengharungi enam perlawanan.

Kelantan jatuh ke tangga kedua selepas mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Jiran mereka, Terengganu turut mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Selangor PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Gol tuan rumah dijaringkan oleh pemain importnya kelahiran dari Liberia Francis Forkey Doe pada minit ke-37 sebelum Mohd Helmi Remeli menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat sembilan minit kemudian.

Selangor dan Johor FC turut menuruti jejak langkah Kelantan dan Terengganu selepas mencatatkan keputusan seri di gelanggang sendiri.

Gergasi Merah terikat 1-1 ketika menentang Lions XII dari Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan Shahril Ishak membuka tirai jaringan untuk pasukan pelawat pada minit ke-43 sebelum K. Gurusamy menyamakan kedudukan bagi skuad Red Giants pada minit ke-45.

Johor FC pula diikat oleh Felda United, 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-82 sebelum penyerang pasukan pelawat Mohd Azrul Ahmad menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Negeri Sembilan pula mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman,Paroi.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan penyerang mereka Zairo Anuar Zailani pada minit ke-36 sebelum skuad Rusa membalas dengan dua gol menerusi jaringan pemain import mereka Jean Effa Owona pada minit ke-44 dan Mohd Shakir Ali pada minit ke-65.

Kedah akhirnya berjaya meleburkan dua rekod kekalahan mereka sebelum ini, selepas menewaskan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, Melaka menerusi jaringan tunggal penyerangnya, Mohd Khyril Muhymeen pada minit keenam.

-- BERNAMA

Safi perkuat Kenari?

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
9 Februari 2012
Abdelfatah Safi

LAMAN sosial Facebook Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memaklumkan pemain import tengah dari Perancis, Abdelfatah Safi dilaporkan telah berjaya lulus ujian pemeriksaan kesihatan.

Difahamkan, kini Safi dan KFA dalam usaha untuk meneliti butiran kontrak dan sekiranya tidak menghadapi masalah kemungkinan besar pemain itu akan menjadi pemain import terbaru Kedah.

Kelibat Safi sebenarnya telah berjaya menambat hati para penyokong Hijau Kuning dan perkara tersebut telah dibuktikan dengan kehadiran lebih 4,000 penyokong ke Stadium Darul Aman pada perlawanan persahabatan menguji pemain import menentang pasukan Presiden Kedah, baru-baru ini.

Aksi Pemain berusia 30 tahun itu terus meniti di bibir para peminat Kedah dan kini fenomena Safi dilihat terus menjadi sebutan di dalam dan luar Stadium Darul Aman.

Bagaimanapun, teka-teki senarai pemain import Kedah terbaru difahamkan bakal diumumkan pada atau sebelum 13 Februari ini.

Dalam pada itu, desas-desus mengatakan Daniel Baroni kekal bersama skuad Kenari, walaupun sebelum ini pemain itu dilapor bakal digugurkan KFA.

Aksinya ketika meledak hatrik pada perlawanan persahabatan menentang US FC baru-baru ini menguatkan lagi andaian tersebut dan rata-rata peminat juga mahu pemain Brazil itu diberikan peluang kedua.

--- SINAR HARIAN

Wednesday, February 8, 2012

Beri ruang, peluang

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
bhsukan@bharian.com,my
2012/02/08

Khairul Fahmi
Khairul Fahmi

Annuar anggap kontroversi akan buat Khairul Fahmi lebih matang

“BERI ruang dan peluang buat Apek (Khairul Fahmi Che Mat) mengharungi usia mudanya bersama kerjaya sebagai pemain bola profesional!”
Itu permintaan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan kontroversi membabitkan penjaga gol Kelantan dan kebangsaan itu satu cabaran yang perlu dilalui dan mampu membuatkan ‘hero Malaya’ itu lebih matang.
Apek dilanda pelbagai kontroversi termasuk terbaru mengaitkan konon dia menjadi punca hubungan pertunangan anak seorang pengusaha batik terkenal dengan gadis pemilik butik pengantin di Kelantan terputus tetapi Annuar beranggapan, Khairul Fahmi yang popular dalam masa singkat pada usia masih muda memang menjadi perhatian banyak pihak.

“Saya berpendapat Apek sedang melalui cabaran seiring usia dan kerjaya sebagai penjaga gol terkenal tetapi saya yakin pelbagai kontroversi ini akan membuatkan dia (Apek) lebih matang.

“Saya percaya, apa yang berlaku dan apa yang dia lakukan, tidak mempunyai sebarang maksud yang tidak baik,” katanya selepas memantau sesi latihan pemain The Red Warriors di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Menurutnya, tidak banyak yang dapat dilakukan pihak pengurusan untuk membantu penjaga gol itu jika kontroversi itu membabitkan peribadi, namun KAFA sentiasa memberi nasihat dan sokongan demi kebaikan kerjayanya.
Akhbar semalam melaporkan, pemilik butik pengantin, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, menafikan pertunangannya bersama anak seorang usahawan di Kelantan, terputus disebabkan Khairul Fahmi.

--- BERITA HARIAN

Mengapa salahkan saya: Muslim

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2012/02/08
‘Saya bukan sengaja mahu terjatuh’

PERTAHANAN tengah Harimau Muda, Muslim Ahmad mengakui sedikit terkilan apabila ada segelintir peminat menyalahkan dirinya di atas kekalahan 2-1 kepada Bahrain dalam perlawanan kelayakan Olimpik Kumpulan C di Manama, Ahad lalu.
Pada perlawanan itu, skuad kendalian Ong Kim Swee hampir membawa pulang mata pertama apabila Ahmad Hazwan Bakri menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 1-0, tetapi kesilapan barisan tengah yang membiarkan lawan merampas bola berhampiran kotak penalti menyebabkan Bahrain memastikan kemenangan.
Dua pertahanan, termasuk Muslim terjatuh apabila Husain Al-Farhan yang merampas bola daripada pemain tengah, menggelecek dua pertahanan sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

“Memang pertahanan sering disalahkan dalam situasi begini, tetapi bola sepak adalah permainan sepasukan dan kami sama-sama bertanggungjawab di atas padang,” kata Muslim mengenai gol kemenangan Bahrain yang dikatakan berpunca daripada kesilapannya.

“Saya memohon maaf jika kesilapan saya menyebabkan skuad negara tewas, tetapi saya bukan sengaja mahu terjatuh. Ketika itu saya sudah naik ke atas dan terpaksa berpatah balik dengan pantas untuk menutup ruang ketika lawan merampas bola.

“Permukaan padang licin juga antara punca saya terjatuh. Saya faham kekecewaan rakyat Malaysia tetapi kami lebih merasai kekecewaannya.
“Walaupun peluang ke Olimpik sudah tertutup, baki dua perlawanan menentang Jepun dan Syria tetap akan kami hadapi dengan penuh semangat bagi mempertahankan maruah pasukan dan negara.”

Muslim akan bersama Terengganu sehingga 18 Februari ini sebelum dipanggil semula menyertai kem Ong Kim Swee menjelang pertemuan dengan Jepun, 22 Februari ini.

--- BERITA HARIAN

Kelibat Zubir, Muslim legakan Mat Zan

Oleh Faizul Azlan Razak
bhsukan@bharian.com.my
2012/02/08
‘Tapi saya mahu nilai tahap mereka’

KEMENANGAN yang dilakarkan Penyu dalam empat perlawanan berturut-turut dijadikan pembakar semangat buat barisan Mat Zan Mat Aris apabila menerima kunjungan PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Namun, di sebalik kejayaan itu, pemain sentiasa diingatkan tidak ambil mudah keupayaan lawan yang turun dengan bersemangat untuk mencuri tiga mata dan memperbaiki kedudukan carta.
Mat Zan berkata, rehat seminggu cukup berharga buatnya untuk memperbaiki dan memperkemaskan bahagian tengah dan serangan yang kurang serasi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Melihat kesungguhan dan keserasian pemain dalam latihan membuatkan saya yakin kami sudah sedia menghadapi PKNS malam esok (malam ini),” kata Mat Zan yang menyifatkan kemenangan ke atas pasukan kelab itu sebagai medan terbaik sebelum bertandang ke Kota Bharu untuk berdepan juara bertahan Kelantan pada aksi ketujuh liga nanti.

Kehadiran semula dua pemain skuad Olimpik kendalian Ong Kim Swee, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi tanpa sebarang kecederaan juga melegakannya.

“Sebelum menurunkan dua pemain ini, saya akan menilai dulu tahap kecergasan mereka kerana bimbang mereka masih keletihan.”
Ditanya kecederaan dialami ayam tambatan import, Francis Forkey Doe ketika bertemu Lions XII baru-baru ini, Mat Zan berkata, kecederaan pangkal paha penyerang Liberia itu tidak serius dan sudah pulih sepenuhnya.

“Saya menghormati PKNS, juara Liga Perdana musim lalu yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim, malah kombinasi pemain tempatan dan import mereka mampu memberi ancaman kepada Terengganu,” katanya.

--- BERITA HARIAN

Jangan ganggu fokus Apek


Khairul Fahmi Che Mat


KOTA KINABALU - Pengurusan skuad Kelantan meminta pihak media tidak menemubual penjaga gol mereka, Khairul Fahmi Che Mat pada sesi latihan pasukan itu di sini, semalam menjelang perlawanan Liga Super menentang Sabah hari ini.

Hasrat itu disuarakan pengurus skuad Red Warriors Azman Ibrahim yang meminta jasa baik media untuk tidak menemubual penjaga gol No. 1 negara itu.

Sebelum ini Apek didakwa mempunyai hubungan dengan seorang pemilik butik, Nur Ellunie Natasha Nazri atau Leuniey namun dinafikan oleh gadis tersebut, kelmarin.

Azman berkata, dia tidak mahu fokus Apek terganggu menjelang pertembungan dengan Sabah.

Katanya, apatah lagi skuad Olimpik negara yang diperkuatkan dengan kehadiran Apek, tumpas kepada Bahrain pada perlawanan Kelayakan Olimpik.

“Apek baru tiba di Malaysia selepas perlawanan menentang Bahrain. Dia masih penat dan saya tidak mahu dia dibebani lagi dengan sebarang persoalan daripada media.

“Ini mungkin mengusutkan tumpuannya bagi menghadapi perlawanan menentang Sabah,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Kelantan semalam.

Mengenai perlawanan hari ini, Azman berkata, keupayaan Sabah beraksi baik di hadapan penyokong sendiri memberi tamparan hebat buat pendahulu Liga Super, Kelantan pada aksi di Stadium Likas, malam ini.

Menurutnya, Sabah yang mempunyai rekod sempurna di laman sendiri pastinya tidak akan memberi laluan mudah kepada Red Warriors untuk mengutip tiga mata penuh.

Katanya, biarpun Sabah berada pada tangga ke-11 liga, ia bukan kayu pengukur sebenar kepada keupayaan pasukan dari Borneo itu, terutama beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Kita tahu bahawa Sabah pastinya akan memberi tentangan sengit buat Kelantan pada pertemuan malam esok (hari ini).

“Namun saya berharap Kelantan akan dapat beraksi pada tahap terbaik dan mampu membawa pulang tiga mata penuh,” katanya.

--- UTUSAN

Kim Swee alih fokus ke Liga-S, kelayakan Piala AFC Bawah 22


PEMAIN skuad Harimau Muda menjalani latihan di padang MSN, Bukit Jalil semalam sebagai persediaan untuk aksi pembukaan Liga-S menentang Gombak United, esok.


KUALA LUMPUR - Saingan kelayakan Olimpik mungkin sudah tidak memberikan apa-apa makna kepada jurulatih Bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee tetapi memandang serius saingan Liga Singapura (Liga-S) sebagai medan persiapan paling sempurna menghadapi kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun, Jun depan.

Bakal memulakan cabaran pertama bertemu Gombak United esok di Stadium Jalan Besar, Kim Swee tidak memandang enteng kualiti beberapa pasukan Liga-S yang disifatkannya lebih baik daripada pasukan Liga Super.

"Saya lihat saingan Liga-S akan memberikan ruang yang banyak kepada pemain saya mengutip seberapa banyak pengalaman dan peluang kepada saya merangka strategi paling ampuh sebelum menghadapi kelayakan Bawah 22 Piala AFC.

"Biarpun saya sedar ada beberapa pemain yang tidak dapat menyertai kejohanan Bawah 22 itu seperti Mahalli Jasuli dan Mohd. Affize Faisal, saya mempunyai ramai pemain bawah 21 tahun dalam skuad kali ini yang akan beraksi dalam Piala AFC.

"Saingan Liga-S saya lihat tetap kompetitif kerana banyak pasukan yang agak baik seperti Home United, Tampine Rovers dan SAFFC (Angkatan Tentera Singapura), mereka bukan sahaja empat pemain import yang bagus namun pemain tempatan berkualiti, " katanya yang ditemui di Padang Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Kejohanan akhir Piala AFC Bawah 22 tahun akan berlangsung kali pertama pada tahun 2013 dan majlis undian bakal dilakukan di Rumah AFC, 14 Februari ini.

Sebanyak 39 negara akan mengambil bahagian pada pusingan kelayakan yang dijadualkan bermula dari 22 Jun hingga 8 Julai dan tuan rumah kejohanan juga akan diumumkan pada majlis pengundian.

Kim Swee juga mencabar anak-anak buahnya agar mampu berada dalam kelompok lima pasukan teratas pada saingan tahun pertama Liga-S.

"Jika tahun lalu semasa dalam saingan Liga Super kami berjaya meraih kedudukan lima terbaik dan mampu bersaing dengan beberapa pasukan utama, saya harap mereka mampu mengulangi pencapaian yang sama kali ini.

"Sasaran ini bukan ditetapkan oleh FAM sebaliknya daripada diri saya sendiri kepada pemain-pemain saya.

"Memang kalau tengok atas kertas, pasukan saya akan menghadapi cabaran yang bukan calang-calang kerana tiada pemain import dan di samping ketiadaan lagi beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd. Muslim Ahmad dan K. Gurusamy.

"Walaupun saya tidak menjangkakan keajaiban akan berlaku namun saya optimis dengan kemampuan semua pemain saya, " katanya.

--- UTUSAN

Kontroversi mematangkan Apek

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyifatkan kontroversi yang melanda penjaga gol utamanya, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek (gambar) merupakan sebahagian daripada proses mematangkan pemain berkenaan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, penjaga gol No. 1 negara itu perlu diberikan peluang secukupnya untuk dia kembali ke kehidupan yang sebenar.

"Apek sedang melalui satu proses di mana beliau sedang menempuhi tempoh masa yang akan mematangkan diri beliau sendiri. Sebab itu kita kena bagi ruang secukup-cukupnya kepadanya untuk kembali ke landasan kehidupan sebenarnya.

"Kita kena akui dia menjadi popular dalam masa yang singkat dan segala tindak-tanduknya mendapat perhatian ramai termasuk orang-orang muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kontroversi yang melanda pengaja gol terbaik Asia itu.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pemilik butik, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau 'Leuniey' tampil menafikan ada hubungan dengan Apek.

Malah, gadis berkulit putih itu turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa tonggak utama pasukan bola sepak Kelantan itu menjadi punca dia memutuskan ikatan pertunangan dengan anak seorang usahawan batik di negeri ini.

Annuar memberitahu, beliau percaya segala kontroversi yang melanda penjaga gol berusia 23 itu sebelum ini tidak bermaksud mempunyai niat yang tidak baik memandangkan Apek bukanlah seorang individu yang memberi masalah sama ada di luar mahu pun di dalam padang.

--- KOSMO

Selangor tidak bimbang tanpa kelibat Balaban

SEKALIPUN tanpa kelibat penyerang import, Bosko Balaban, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tetap optimis skuad kendaliannya itu mampu mencatatkan kemenangan menjelang pertemuan menentang Lion XII FC dalam saingan Liga Super malam ini.

Irfan berkata, sehingga semalam, pihaknya masih belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) bagi membolehkan Balaban turun beraksi pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.

Justeru, tidak mahu menganggap isu tersebut sebagai satu masalah, bekas jurulatih Terengganu itu meletakkan sandaran terhadap barisan pemain tempatan untuk mengutip tiga mata penuh ke atas Lion XII FC.

“Biarpun tanpa khidmat Balaban, saya percaya pemain-pemain tempatan mampu beraksi dengan baik dan sekali gus mencatatkan kemenangan.

“Apa yang saya mahu, semua pemain perlu memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan esok (malam ini) dan tidak memandang mudah keupayaan pasukan lawan. Kami perlu menang kerana kami beraksi di tempat sendiri.

“Saya mahu pemain-pemain memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri ini sebaik mungkin,” kata Irfan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Irfan, sekiranya hari ini, pihaknya masih belum menerima ITC bagi membolehkan Balaban beraksi, beliau akan meletakkan sandaran ke atas kapten, Mohd. Amri Yahyah bagi menerajui jentera serangan skuad Gergasi Merah.

Dalam pada itu, tonggak pertahanan import Selangor, Ramez Dayoub terpaksa diketepikan pada aksi malam ini selepas dikenakan hukuman penggantungan sebanyak satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.

Ketika ini, anak-anak buah Irfan menghuni tangga kelima carta liga apabila mengumpul lapan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

--- KOSMO

Naib Presiden Kafa meninggal dunia

NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Othman Zakaria (gambar), 63, meninggal dunia di rumahnya di Kubang Kerian, Kota Bharu semalam dipercayai akibat serangan jantung.

Isterinya, Datin Mahani Daud berkata, beliau menyedari mengenai kematian suaminya kira-kira pukul 9 pagi semalam ketika mahu mengejutkan arwah daripada tidur.

"Kali terakhir saya melihat arwah ialah pada pukul 2 pagi ketika masuk ke bilik untuk tidur.

"Bagaimanapun, kira-kira pukul 9 pagi, ketika saya mahu mengejutkan beliau, saya melihat mukanya berbeza daripada biasa, lalu saya memanggil anak-anak untuk melihat keadaannya," katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Stan dekat Kubang Kerian selepas solat Asar.

--- KOSMO

Nora Danish simpati nasib Apek



KUALA LUMPUR - Pelakon Nora Danish Mohd. Hanif, 29, melahirkan rasa simpati dengan nasib pemain bola sepak kacak, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, 23, kerana sering dikaitkan mempunyai hubungan dengan ramai wanita termasuk dirinya.

Nora ketika dihubungi Kosmo! semalam juga menafikan dakwaan dia dan Apek saling berbalas pesanan di Twitter atau Facebook dan pernah keluar bertemu janji.

"Saya simpati dengan nasib dia (Apek) kerana sering sahaja dikaitkan mempunyai hubungan dengan ramai wanita termasuklah saya.

"Satu demi satu cerita mengenai dia dengan beberapa wanita keluar tetapi semua berita tersebut tidak benar dan nampak sangat ada orang yang cuba menjatuhkan dia," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! pada Ahad, 5 Februari lepas pernah melaporkan di ruangan gosip Diva mengenai Nora dan Apek pernah bertemu dan berkenalan.

Berita ini juga boleh merosakkan reputasi dia sebagai pemain bola sepak yang bagus.

"Berita mengenai saya saling berbalas Twitter dan mesej di Facebook Apek juga tidak benar. Saya cuma bangga dan menghormati dia sebagai pemain bola sepak yang bagus," ujarnya.


--- KOSMO

Tuesday, February 7, 2012

Nwaneri ganti Antwi


INTAN ATHIRAH REBUWANG
7 Februari 2012
Obinna Nwaneri, kelantan

PEMAIN pertahanan import dari Nigeria, Obinna Nwaneri menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), bagi menggantikan Denny Antwi dalam baki saingan Liga Super musim ini.

Meskipun menampilkan aksi hambar pada perlawanan persahabatan menentang kelab Balestier Khalsa FC, pengalaman Nwaneri yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan negaranya tetap ditagih bagi memperkuatkan benteng The Red Warriors.

Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim berkata, Jawatankuasa Pengurusan Kafa yang bermesyuarat semalam memutuskan untuk menyenaraikan Nwaneri selaku pemain import kedua Kelantan, sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain import berakhir 13 Februari ini.

“Segala urusan berkaitan dokumentasi pemain berkenaan juga sudah berjaya diselesaikan, termasuk Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) daripada kelab asalnya, malam semalam.

“Kita akan cuba mendaftarkan Nwaneri dengan sekretariat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secepat mungkin, meskipun semalam dan hari ini Lembah Klang cuti umum, tetapi kita akan tetap berusaha mendaftarkan pemain itu mengikut saluran lain,” katanya.

Azman berkata, sekiranya pemain tersebut dapat didaftarkan, Kelantan dijangka dapat menurunkan pemain berusia 30 tahun ketika menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok.

Mengulas mengenai kedudukan penyerang import, Mohammed Ghaddar bersama The Red Warriors, Azman menjelaskan, khidmat pemain kelahiran Lubnan itu tetap diperlukan bagi menguatkan jentera serangan Kelantan.

“Beliau kekal beraksi dalam Liga Super dan terus diberi kepercayaan untuk bergandingan dengan Norshahrul Idlan di bahagian serangan. Kita percaya beliau mampu menjaringkan lebih banyak gol selepas ini,” katanya.


--- SINAR HARIAN

Hai-O masih belum puas hati


MOHD FAHMI ISMAIL
5 Februari 2012
Hairuddin Omar

MESKIPUN berjaya memungut tiga mata maksima mengalahkan Pahang 3-2 kelmarin, kapten ATM Hairuddin Omar tetap kurang berpuas hati persembahan dipamerkan rakan sepasukan pada perlawanan tersebut.

Menurut Hai-O, dua gol mudah dilepaskan kepada pihak lawan, sepatutnya tidak berlaku namun Pahang yang bermain dengan sembilan pemain selepas dibuang padang dimanfaatkan sepenuhnya skuad pimpinan B Sathianathan.

“Ketika kedudukan terikat 2-2, agak sukar kami menambah jaringan. Tetapi, selepas Saiful Nizam Miswan diarah meninggalkan padang, barulah kami berjaya meledak gol kemenangan,” katanya.

Namun begitu, Hai O turut terkilan kerana banyak peluang keemasan dilepaskan begitu sahaja oleh rakan-rakan dan menyifatkan mereka mampu menang besar ke atas Pahang.

“Sayang sekali peluang menambah jaringan gol dipersia-siakan begitu sahaja. Tetapi, kami bersyukur atas kemenangan keempat saingan Liga Perdana musim ini,” katanya.

Pada aksi berkenaan, gol ATM disumbangkan menerusi Bruno Marteloto, Marlon Alex James dan Christie Jayaseelan, manakala skuad Tok Gajah membalas hasil jaringan Saiful Nizam dan Azamuddin Akil.


--- SINAR HARIAN

Tiada rezeki



SKUAD bola sepak negara sudah boleh melupakan misi memburu tiket pada Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.

Kekalahan 1-2 kepada Bahrain pada aksi keempat Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional di Manama kelmarin, menutup terus peluang skuad kendalian Ong Kim Swee menjejakkan kaki di bumi London.

Bagi Kim Swee, beliau tidak mahu melihat kegagalan itu sebagai titik kejatuhan skuad negara, sebaliknya tetap memandang positif keupayaan barisan pemain mudanya.

“Selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut pada pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012, banyak pengajaran yang boleh diambil oleh para pemain bagi menghadapi perlawanan antarabangsa sebegini,” jelas Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

PINTU Sukan Olimpik 2012 kini sudah tertutup rapat buat skuad negara kendalian Ong Kim Swee

Kekalahan 1-2 kepada Bahrain pada aksi keempat Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional di Manama kelmarin, mematikan terus langkah skuad negara untuk menjejakkan kaki di bumi London.

Biarpun penyerang gantian, Ahmad Hazwan Bakri berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-84, namun kealpaan benteng pertahanan sekali lagi menghukum skuad negara apabila Bahrain memperoleh gol kemenangan ketika perlawanan berbaki seminit.

Kekalahan itu hampir sama dengan skrip di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 November lalu yang menyaksikan skuad negara tewas mengejut 2-3 di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Walaupun kemenangan bagaikan hampir pasti memihak skuad negara apabila selesa mendahului dua gol menerusi jaringan Mohd. Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli tatkala perlawanan berbaki 12 minit, Bahrain bangkit dengan memperoleh tiga gol dalam tempoh lima minit.

Sebelum bertandang ke Manama, skuad negara dilihat berdepan misi sukar untuk menempah tiket Olimpik 2012 apabila tewas dalam tiga perlawanan awal, sekali gus menyaksikan anak-anak buah Kim Swee menghuni tangga tercorot Kumpulan C.

Dalam aksi pembukaan Kelayakan Olimpik 2012, skuad negara tewas 0-2 kepada Jepun di gelanggang lawan sebelum mereka sekali lagi menerima nasib yang sama apabila tumbang 0-2 kepada Syria di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dengan kekalahan terbaharu yang dialami kelmarin, hajat skuad negara untuk sekurang-kurangnya muncul naib juara peringkat kumpulan, sekali gus layak beraksi pada saingan playoff tidak kesampaian.

Biarpun mengakui agak kecewa dengan kegagalan barisan pemainnya, Kim Swee tetap mahu berfikiran positif, sambil menganggap anak-anak buahnya mendapat pengalaman serta pengajaran berguna pada kempen Kelayakan Olimpik kali ini.

Jelas Kim Swee, sejurus anak-anak buahnya berjaya melayakkan diri ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012, beliau sedar dengan cabaran yang bakal diharungi mereka apabila diundi bersama pasukan berstatus gergasi khususnya Jepun.

Sebagai rekod, skuad negara menyingkirkan Pakistan pada pusingan pertama dan Lebanon (pusingan kedua) sebelum berjaya meloloskan diri ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012.

“Selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut pada pusingan ketiga Kelayakan Olimpik, banyak pengajaran yang boleh diambil oleh para pemain saya.

“Walaupun peluang (mara ke Sukan Olimpik 2012) sudah tertutup, mereka tidak boleh meratapi kegagalan itu. Sebaliknya, mereka harus memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

“Saya akan cuba memastikan tidak berlaku kesilapan yang sama pada dua baki perlawanan Kelayakan Olimpik akan datang,” jelas Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Skuad negara dijadualkan menentang Jepun di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 22 Februari ini sebelum mengakhiri aksi Kelayakan Olimpik 2012 bertemu Syria di gelanggang lawan pada 14 Mac.

“Dengan kekalahan kepada Bahrain semalam (kelmarin), kita sudah boleh melupakan misi memburu tempat pada Sukan Olimpik 2012 di London. Bagaimanapun, saya akan mengingatkan para pemain supaya tidak mengambil mudah dua lagi baki aksi Kelayakan Olimpik.

“Saya pasti, tidak banyak bezanya apabila kita menghadapi dua pasukan ini (Jepun dan Syria) nanti. Cuma saya berharap para pemain saya dapat cepat belajar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama,” tambah Kim Swee.


--- KOSMO

'Saya bukan kekasih Apek'




KOTA BHARU - Seorang pemilik butik di sini, Nur Eilunie Natasha Nazri semalam tampil membuat pengakuan bahawa beliau tidak mempunyai hubungan cinta dengan penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek .

Gadis berkulit putih berusia 21 tahun itu yang lebih mesra dipanggil 'Leuniey' turut menafikan tonggak utama The Red Warriors itu menjadi punca beliau memutuskan ikatan pertunangan dengan anak seorang usahawan batik di negeri ini.

Menurutnya, ikatan pertunangan tersebut diputuskan atas sebab masalah peribadi dan bukannya kehadiran orang ketiga.

"Saya terima berita ini (putus tunang) sebagai satu dugaan, mungkin telah tersurat jodoh kami telah tiada. Perkara ini telah diselesaikan dengan baik dan keluarga saya telah berjumpa dengan keluarga bekas tunang saya itu.

"Kedua-dua pihak menerima keputusan ini dengan sebaiknya. Saya ingin tegaskan perkara ini tidak ada kena mengena dengan Apek," katanya dalam sidang akhbar di butiknya di sini semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah ibu bapanya, Nazri Adnan, 43, dan Noor Laila Abu Bakar, 43, serta pengurus syarikat Khairul Fahmi Resources (M) Sdn. Bhd (KFR), Syed Ahmad Mohd. Yusof.

Sebelum ini, sebuah portal berita detikperubahan.com melaporkan Apek kini dikatakan hangat bercinta dengan gadis manis bernama 'Leuniey'.

--- KOSMO

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...