KOTA BHARU - Persiapan Piala Malaysia skuad Kelantan yang semakin
menuju puncak dikejutkan dengan khabar kurang menyenangkan apabila
dilaporkan bakal kehilangan tiga penjaga gol serentak.
Tiga penjaga gawang yang dimaksudkan penjaga gol veteran, Mohd.
Halim Napi dan Norhadi Ubaidillah masing-masing dibelenggu kecederaan
manakala penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek tidak
mendapat pelepasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana perlu
melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Olimpik Khamis ini.
Perkara tersebut disahkan Pengurus pasukan, Azman Ibrahim yang
mengakui kehilangan tiga penjaga gol serentak merencatkan persiapan Red
Warriors.
“Kita tidak ada pilihan selain mengemukakan rayuan kepada FAM bagi
mendapatkan pelepasan untuk membolehkan Apek menyertai pasukan.
Sukar bagi kita untuk mencari pengganti dalam tempoh sesingkat ini.
“Tambahan pula kita akan ke Kuching pada 5 September ini. Lagipun
mana sempat untuk kita mencari pengganti kerana kita akan menyambut
Aidilfitri esok (hari ini),” katanya.
Tambahnya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) turut berharap FAM dapat mempertimbangkan permohonan itu dengan sewajarnya.
“Posisi penjaga gol begitu kritikal sekarang kerana kita hanya ada
seorang penjaga gol iaitu Mohd. Shahrizan (Ismail),” jelasnya.
Mengulas mengenai kecederaan yang menimpa kedua-dua penjaga golnya,
Azman memberitahu, khidmat Mohd. Halim terpaksa diketepikan selepas
mengalami kecederaan pada kakinya ketika menjalani latihan sebelum
perlawanan persahabatan di Songkla, Thailand, Jumaat lalu.
“Dia sudah tidak turun menjalani latihan sejak beberapa hari lalu.
Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana hanya tinggal Mohd. Shahrizan
seorang yang menjalani latihan.
“Norhadi (Ubaidillah) pula dinasihatkan berehat selama sebulan
kerana mengalami masalah pada paru-paru rentetan kecederaan yang dialami
ketika perlawanan menentang Kanada di Kejohanan Sukan Universiti Dunia
di Shenzen, China baru-baru ini dan dia kini sudah berehat di rumah dan
terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) untuk
rawatan susulan,” katanya.
----- Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.