SEPANG - Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi
Che Mat menegaskan masalah luar padang membabitkan dirinya tidak
menjejaskan fokus menggalas cabaran negara pada pusingan Kelayakkan
Olimpik 2012, bulan depan.
Khairul Fahmi atau Apek yang baru pulang dari menjalani latihan
bersama skuad Olimpik di Slovakia kelmarin berkata, dia tahu membezakan
antara kerja dengan hal peribadi.
"Waktu saya perlu kerja, saya sentiasa berikan seratus peratus.
Masalah luar padang langsung tidak menjejaskan saya," katanya ketika
ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA), kelmarin.
Khairul yang menjadi bualan hangat ekoran isu putus tunang dengan
Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia, memberitahu masalah itu sudah
hampir selesai tetapi belum 'sepenuhnya'.
"Disebabkan keluarga saya jauh di Kelantan, sebelum ke Slovakia lagi
saya sudah serahkan cincin pertunangan kepada keluarga angkat di Kuala
Lumpur untuk dipulangkan kepada keluarga Elia.
"Pertunangan kami telah diputuskan secara rasmi. Namun masih ada
perkara yang perlukan saya selesaikan sepenuhnya dalam tempoh beberapa
hari cuti Hari Raya ini.
"Saya akan pastikan ia diselesaikan dengan cara baik dan tiada lagi
masalah berbangkit kerana banyak lagi perkara penting saya perlu fokus,
jadi masalah luar padang tidak harus timbul lagi," katanya.
Apek, 21, juga mengakui dia adalah lelaki dalam gambar kontroversi
yang memaparkan seorang lelaki dan wanita berpegang tangan dari arah
belakang, yang mana lelaki dalam gambar tersebut mirip dia.
Namun Apek mengatakan wanita di dalam gambar tersebut bukan 'orang
ketiga' dan tiada kena mengena dengan tindakan mengejut dia memutuskan
pertunangan dengan Elia.
Gambar yang tersebar luas di Internet mendakwa ia dirakam ketika
pasangan berkenaan bercuti di Universal Studio Singapura baru-baru ini.
Tanpa menghuraikan butiran mengenai wanita tersebut, Apek memberitahu wanita tersebut adalah kenalan rapat di kampung halamannya
"Kami berdua mula rapat sejak timbul masalah saya dengan bekas
tunang. Saya perlukan tempat mengadu dan bersamanya saya berasa selesa
membincangkan. Dia bukan puncanya," jelas Apek
Sementara itu, pengendali skuad Olimpik, Ong Kim Swee menganggap latihan intensif sebulan di Slovakia berjaya mencapai matlamat.
Dia percaya pengalaman yang ditimba pemainnya memantapkan skuadnya
menjelang Kelayakkan Olimpik bermula dengan bertandang ke Jepun 21
September ini.
Kematangan Harimau Muda tampak menyerlah dalam tujuh aksi
persahabatan yang diatur menerusi rekod lima kemenangan dan hanya tewas
dua kali.
Ia termasuk menang tipis 1-0 ke atas Moldava diikuti Topolcany 2-1;
Mikulas 2-1; Dolny Kubin 2-0; dan Levice 1-0. Mereka kecundang kepada
kelab Hungary, Budapest Honved 1-4 dan 0-1 kepada kelab Liga Corgon
Slovakia, FC Nitra.
"Kita bermain tujuh perlawanan berkualiti dan kompetitif di Slovakia.
Semua aksi persahabatan tersebut saya dapat nilai segala kekuatan dan
kelemahan kita.
"Pasukan ini semakin matang dan ia ditonjolkan menerusi beberapa
kemenangan. Ini merupakan kali ketiga kami berlatih di Slovakia, kalau
dahulunya kita sering tewas, kali ini ia tidak sama lagi," jelasnya.
----- Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.