Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, June 10, 2011

Kafa minta penyokong berdisiplin


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meminta supaya semua penyokong pasukan The Red Warriors tidak bertindak liar ketika menyaksikan Perlawanan Akhir Piala FA 2011 nanti.

Presidennya, Tan Sri Anuar Musa mengingatkan peminat setia pasukan Kelantan menjadi penyokong berdisiplin sekali gus menolak tanggapan negatif semua pihak terhadap mereka.

Menurutnya, peminat boleh datang beramai-ramai memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok dan menyokong pasukan secara berdisiplin.

“Saya percaya penyokong Kelantan pada tahun ini telah menunjukkan rekod yang baik. Tidak ada yang pro keganasan.

“Pertama kali kita tidak didenda sepanjang musim. Memang ada satu dua insiden kecil tetapi sudah membangkitkan keinsafan dalam kalangan penyokong itu sendiri,” katanya semalam.

Menurutnya, ia satu perkembangan positif, jadi biarlah perlawanan yang bakal disaksikan malam esok berakhir dengan aman.

“Saya juga berharap semua penyokong yang bersemangat datang dari seluruh pelosok negeri ini dapat tiba dengan selamat dan memberi sokongan positif kepada pasukan.

“Saya menganggarkan kira-kira 60,000 penyokong Kelantan akan membanjiri stadium nanti menyaksikan perlawanan hebat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar juga memberitahu bagi mengelak daripada timbulnya masalah untuk menyaksikan perlawanan nanti, semua peminat jangan membeli tiket daripada ulat tiket.

“Ulat tiket ini kita tidak boleh halang, sekiranya ada permintaan mereka akan menjualnya. Jadi penyokong jangan panik.

“Peminat Kelantan juga boleh mendapatkan tiket yang dijual bermula esok mulai jam 9 pagi di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ketetapan ini adalah untuk memberi peluang kepada peminat di negeri lain menyaksikan perlawanan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai isu penjualan tiket di Kota Baharu pada Isnin lalu yang dikatakan agak lembap tetapi habis dijual dalam masa empat jam.

“Saya ingin menjelaskan, berdasarkan pemerhatian saya penjualan agak perlahan memandangkan ada yang membeli secara berkelompok dengan mengikuti rombongan dan mereka tidak perlu berasak-asak.

“Kita berjaya mendapat tiket tambahan dan setakat ini hampir 40,000 tiket sudah dijual,” katanya.

----- Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...