Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, May 17, 2011

Piala FA: Terengganu Dan Kelantan Bertembung Dalam Perlawanan Akhir

Shakir Saari


KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kelantan dan Terengganu mara ke perlawanan akhir Piala FA edisi ke-22 setelah mengalahkan lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir kedua malam Isnin.

Perlawanan akhir antara kedua-dua pasukan dari Pantai Timur itu akan berlangsung 11 Jun namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum menetapkan venue perlawanan tersebut.

Perlawanan ini juga merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan dalam saingan akhir merebut gelaran Piala FA setakat ini.

Aksi di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, menyaksikan tuan rumah berjaya menafikan peluang Selangor ke perlawanan akhir walaupun mencatatkan seri 1-1 untuk terus mara ke final dengan agregat 6-2.

Sementara, satu lagi perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menyaksikan Terengganu layak ke perlawanan akhir dengan mencatat kemenangan 2-0 untuk mara ke final dengan agregat 5-2.

Pasukan Kelantan yang turun selaku naib juara Piala FA musim 2009 bagaikan rakus membalas dendam kekalahan pertemuan akhir dua tahun lepas ke atas juara musim 2009, Selangor apabila membuka jaringan seawal minit ke-9 permainan hasil Mohd Shakir Shaari gagal dikawal akibat kelekaan barisan pertahanan Selangor yang tidak kemas menolak keluar bola dari lingkungan kotak penalti.

Namun kegembiraan tuan rumah berjaya disekat apabila Rudie Ramli mendapat gol penyamaan hasil hantaran jarak dekat Amri Yahyah untuk menyepak masuk bola mengalahkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-78.

Walaupun keputusan yang diterima seri, namun pasukan anak didik K. Devan tidak mampu menandingi kemenangan skuad Red Warriors dengan agregat 6-2 yang dicipta apabila mengalahkan Selangor dengan keputusan 5-1 di Stadium Shah Alam, 13 Mei lepas.

Sementara itu, satu lagi aksi malam ini menyaksikan skuad Penyu anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Ini sekaligus melayakkan mereka ke final dengan agregat 5-2 apabila dua gol masing-masing dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-36 dan pemain gantian, Mohd Alimi Fahmi Kamaruddin pada minit ke-85 untuk menghukum skuad Tok Gajah. Sementara itu pada satu perlawanan Liga Perdana, Selangor PKNS membelasah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-1 sekaligus menjarakkan jurang yang lebar di antara pencabar terdekatnya Sarawak dengan perbezaan 12 mata untuk selesa mengutip 48 mata setakat ini.

Gol PKNS diperolehi pada minit ke-24 berikutan kesilapan barisan pertahanan lawan dan rembatan kencang Mohd Irme Mat gagal diselamatkan oleh penjaga gol PDRM, Mohd Hamdan Sairi.

Namun kegembiraan pasukan kelab dari Selangor itu tidak kekal lama apabila Polis menyamakan kedudukan 1-1 menerusi satu serang balas apabila sepakan lambung Fazuan Abdullah di luar kotak penalti menerjah jaring pada minit ke-39.

Tersentak dengan jaringan tersebut yang merupakan gol bolos ke-lima PKNS buat musim ini, pasukan tersebut pantas mengatur strategi pada babak kedua berlangsung dan hasilnya gol kedua PKNS terhasil pada minit ke-57 yang dijaringkan oleh Mohd Fauzan Dzulkifli dan beliau terus beraksi cemerlang apabila sepakan percumanya di luar kotak penalti singgah tepat ke dalam gawang Polis selang lima minit kemudian.

PKNS terus ghairah memburu gol seterusnya dan hasilnya dua jaringan gol pasukan kelab itu disumbangkan oleh Mohd Azrif Nasrul Haq pada minit ke-76 dan 82.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...