azlanmz@hmetro.com.my
DUA gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu akan bertemu pada final Piala FA musim ini selepas menyingkirkan Selangor dan Pahang di peringkat separuh akhir dengan agregat besar.
Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam, Kelantan yang membawa kemenangan besar 5-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam turun dengan sokongan kira-kira 20,000 penyokong, jelas bermula dengan tenang apabila menguasai perlawanan seawal minit pertama.
Hasilnya pemain tengah The Red Warriors, Mohd Shakir Saari berjaya membuka gol untuk tuan rumah pada minit kesembilan selepas merembat kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd Iqbal Suhaimi untuk menjadikan kedudukan 6-1 secara agregat.
Kelantan terus dihidangkan dengan deretan peluang pada separuh masa pertama, namun gagal disudahkan jentera serangan tuan rumah yang diketuai Mohd Khalid Jamlus dan Mohd Ramzul Zahini Adenan.
Selangor pula banyak mengasak ke kubu lawan pada separuh masa kedua dan usaha anak buah jurulatih K Devan membuahkan hasil apabila Rudie Ramli menjaringkan gol penyamaan untuk keputusan akhir 1-1, sekali gus mengelakkan skuad Merah Kuning itu tewas buat kali keempat kepada Kelantan, namun ia tidak cukup untuk menafikan tiket final Kelantan yang mara dengan agregat 6-2.
Karathu yang jelas gembira dengan kemenangan itu berkata keyakinan memang menebal di kalangan pemainnya selepas kemenangan besar pada separuh akhir pertama pada Jumaat lalu.
“Kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama namun gagal yang mungkin disebabkan ketiadaan empat pemain utama dalam kesebelasan utama dan strategi saya menggunakan pemain muda untuk meraih pengalaman pada perlawanan seperti ini,” katanya.
Kejayaan mara ke final Piala FA untuk kali kedua selepas kekecewaan pada 2009 amat dinantikan peminat Kelantan selepas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah pada awal musim ini.
Devan pula berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan keputusan itu walaupun gagal menyekat kemaraan Kelantan untuk ke final.
Sementara itu, Terengganu yang mara ke final untuk kali keempat, menewaskan Pahang 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk mara dengan agregat 5-2.
Aksi final itu adalah perlawanan pertama membabitkan dua pasukan Pantai Timur namun skuad Peteh mempunyai rekod lebih baik apabila pernah bergelar juara pada 2000 dan dua kali sebagai naib juara sejak piala itu mula dipertandingkan pada 1990.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.