Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, May 18, 2011

Penyu tekad ulang kejayaan 11 tahun lalu (Harian Metro Online)

Oleh Malik Muhamad
am@hmetro.com.my

KEJAYAAN menundukkan Pahang dengan agregat 5-2 meningkatkan semangat Terengganu untuk memburu kejayaan kali kedua dalam saingan Piala FA selepas kali terakhir merangkul kejuaraan itu 11 tahun lalu.

Kehadiran kira-kira 20,000 penonton membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah berjaya menyuntik semangat pemain memperagakan aksi terbaik melangkah ke final dengan menewaskan Pahang 2-0 di separuh akhir kedua, malam kelmarin.

“Kehadiran peminat yang begitu ramai sehingga menggamatkan stadium adalah salah satu kunci kemenangan Terengganu dan saya percaya pada final sekiranya kehadiran penonton bertambah, Terengganu berupaya muncul juara kali kedua,” kata jurulatih Irfan Bakti Abu Salim.

Pada perlawanan itu, tuan rumah bermula garang dengan asakan bertubi-tubi ke arah pintu gol lawan dan berjaya mendapat gol pembukaan menerusi penjaring kedua terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahaya melalui sepakan penalti pada minit ke-35 selepas dia dijatuhkan penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar Ali.

Pemain gantian, Mohd Ailim Fahmi Kamaruddin menamatkan sisa perjuangan skuad kendalian Dollah Salleh pada babak kedua apabila meledakkan gol kedua selepas menerima hantaran pemain tengah, Ahmad Nordin Alias.

Menurut Irfan, walaupun tanpa kelibat bekas penyerang kebangsaan, Abdul Manaf Mamat yang cedera, aksi anak buahnya kelmarin adalah yang terbaik dengan melakukan asakan bertali arus ke kubu lawan.

Katanya, walaupun mempunyai kelebihan satu jaringan selain beraksi di gelanggang sendiri, pemain tetap bersemangat memburu jaringan untuk menjaminkan pentas final bertemu Kelantan. “Saya arahkan pemain mencari gol awal bagi mengelak tekanan, arahan saya berjaya diikuti dan kemenangan ini cukup membanggakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...