Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, March 11, 2011

Harap tuah (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

TANGKAS...pemain negara,  Mohamad Fandi  diasak  pemain Pakistan,   Muhammad Rizwan  di Stadium Punjab, Lahore, semalam.
TANGKAS...pemain negara, Mohamad Fandi diasak pemain Pakistan, Muhammad Rizwan di Stadium Punjab, Lahore, semalam.

SEKADAR mengharapkan tuah undian pada pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 bukan cara terbaik buat skuad negara melangkah lebih jauh dalam pemburuan slot ke temasya sukan terbesar di dunia itu.

Mungkin ia satu kejayaan buat anak buah Ong Kim Swee apabila mengatasi Pakistan dengan agregat 2-0 meskipun sekadar seri 0-0 pada perlawanan kedua di Lahore kelmarin.

Namun kemampuan skuad negara sebenarnya bakal diuji apabila berentap di pusingan kedua Jun depan kerana lawan yang menanti bukan calang-calang pasukan.

Malaysia bersama 10 lagi pasukan yang mara ke pusingan kedua akan diundi bersama 13 lagi pasukan pilihan, Australia, Bahrain, China, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam yang mendapat bye pada pusingan awal.

Sememangnya tidak dinafikan untung nasib skuad negara banyak bergantung kepada keputusan undian yang akan diketahui pada 30 Mac ini namun Kim Swee tetap menganggap nasib mereka sebenarnya bergantung kepada diri mereka sendiri.

“Layak ke pusingan kedua adalah satu kejayaan dan ini pastinya dapat menyuntik moral kepada semua pemain. Cabaran lebih berat selepas ini memandangkan kita akan diundi bersama pasukan gergasi Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia.

“Apa yang penting pasukan negara perlu bersedia kerana mana-mana pasukan yang akan ditentang pada pusingan kedua adalah kuat, tidak ada pasukan yang lemah kerana sebab itulah mereka diletakkan sebagai pasukan pilihan,” katanya yang dihubungi Arena Metro di Lahore semalam.

Pusingan kedua yang diadakan secara timbal balik akan berlangsung pada 19 dan 23 Jun depan dengan 12 pemenang dari pusingan itu akan meneruskan persaingan di peringkat kumpulan bermula 21 September hingga 14 Mac 2012. Juara daripada tiga kumpulan akan mendapat tempat ke Olimpik London 2012 manakala naib juara akan bermain secara round robin sebelum menentang wakil Concacaf bagi merebut satu lagi slot.

Mengulas mengenai perlawanan kedua dengan Pakistan di Stadium Punjab Lahore kelmarin, Kim Swee berpuas hati dengan aksi pemain biarpun bahagian serangan masih tumpul.

“Kami turut mencipta peluang walaupun diasak oleh Pakistan seperti percubaan Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) yang terkena palang. Keadaan padang tak berapa elok jadi susah untuk kami membuat hantaran pendek. Saya memang puas hati kerana yang mustahak pemain bermain dengan baik dan layak ke pusingan kedua,” katanya.

Skuad yang dibarisi sebilangan besar pemain Harimau Muda A ini akan tiba di KLIA dari Karachi pagi ini sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu bagi menghadapi perlawanan Liga Super menentang Sabah malam esok.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...