KUALA LUMPUR - ''Kami masih OK, cuma belum berada pada tahap terbaik. Dalam beberapa perlawanan akan datang, saya yakin kami akan menampilkan rentak sebenar.
''Buat peminat, usah bimbang, skuad ini masih mampu memberikan cabaran seperti mana musim lalu, cuma kami memerlukan sedikit masa lagi," demikian kata jurulatih Red Giants, K. Devan ketika ditanya mengenai permulaan perlahan juara bertahan itu dalam saingan awal Liga Super.
Sambil tidak mahu mengaitkan faktor penghijrahan penyerang, Safee Sali ke Indonesia sebagai punca, Devan menegaskan terdapat dua faktor yang membuatkan Selangor masih belum panas, iaitu kecederaan di kalangan pemain utama dan penyesuaian pemain baru mengikut kehendak taktikal pasukan.
''Masih ada pemain utama kami seperti Khairul Anuar Baharom dan Mohd. Bunyamin Omar yang tidak dapat beraksi, sementara Mohd. Nasriq Baharom baru kembali beraksi pada pertemuan menentang Johor FC pada minggu lalu.
''Manakala bek kanan, Mohd. Razman Roslan pula dilanda kecederaan yang menyebabkan saya sehingga hari ini masih tidak menurunkan kesebelasan terbaik.
''Satu lagi faktor ialah pemain kebangsaan yang beraksi di Piala Suzuki AFF dilihat masih dapat memberikan fokus daripada segi fizikal dan mental, ternyata mereka belum menampilkan aksi terbaik masing-masing kepada pasukan," kata Devan semasa dihubungi, semalam.
Selangor akan bertemu Kedah di Stadium Shah Alam hari ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.