KUALA LUMPUR - Sabar dulu Safee Sali! Selangor masih belum bersedia untuk melepaskan ayam tambatan mereka itu beraksi di dalam Liga Super Indonesia (ISL) selagi tidak ada perbincangan lanjut dan mendapat restu daripada Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, masa depan Safee akan bergantung kepada hasil perundingan yang akan diadakan dengan ketiga-tiga wakil kelab terbabit pada minggu ini.
''Setakat ini sebenarnya masih belum ada perbincangan konkrit dengan mana-mana kelab terbabit sehingga hari ini.
''Memang benar mereka berminat mahu mendapatkan khidmat Safee tetapi semasa saya di Jakarta, wakil mereka hanya berbincang kosong sahaja dengan saya tanpa menyebut nilai tawaran yang akan diberikan.
''Mereka akan berjumpa saya pada minggu ini di sini tetapi saya tidak boleh nyatakan lokasi atau masa pertemuan, sabarlah ... bila sampai masanya, saya akan beritahu kepada pihak media,'' katanya yang dihubungi, semalam.
Safee kelmarin ada menyatakan bahawa dia telah bersedia beraksi ke luar negara dan menerima tawaran beraksi ke ISL dengan tiga kelab, Persib Bandung, Persib Balik Papan dan Pelita Jaya mengemukakan minat mendapatkan khidmatnya.
Namun, kelab Persib Bandung menjadi pilihan utama Safee berdasarkan lokasinya yang dekat dengan tanah air di samping sudah masak dengan persekitaran di wilayah tersebut.
Mengulas lanjut, Hamidin berkata dia akan meneliti terlebih dahulu berapa tawaran yang akan dikemukakan oleh wakil-wakil kelab berkenaan.
''Kita tidak akan melepaskan khidmat Safee dengan begitu mudah memandangkan dia masih mempunyai kontrak sehingga bulan Disember ini dan akan melihat nilai tawaran mereka letakkan kepada kami.
''Bagaimanapun, FAS menghormati minat yang ditunjukkan oleh Safee dan tidak mahu menghalang impiannya bermain di luar negara.
''Namun, seperti mana saya perkatakan, kami akan meneliti syarat-syarat yang diberikan oleh wakil-wakil kelab terbabit sebelum saya membawa perkara ini untuk diperbincangkan bersama Ahli Jawatankuasa FAS bagi mendapat persetujuan bersama.
''Saya kena menjaga juga kepentingan skuad Selangor tambahan Safee adalah salah seorang pemain utama di posisi serangan dan berharap keputusan yang akan dicapai akan memuaskan hati ramai pihak,'' ujarnya.
Jika Selangor kehilangan khidmat Safee, mereka mungkin terpaksa bergantung kepada Mohd. Amri Yahyah, Rudie Ramli, S.Sritharan dan K. Depan Sakwati untuk mengemudi serangan skuad Merah Kuning.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.