2011/01/11
Real Madrid gah bangkit dua kali untuk menewaskan Villarreal 4-2
MADRID: Cristiano Ronaldo meledakkan hatrik sensasi ketika Real Madrid bangkit dua kali untuk menewaskan Villarreal 4-2, kelmarin untuk mengekalkan rekod sempurna di tempat sendiri dan menghampiri dua mata dengan pendahulu, Barcelona. Bintang Portugal, Ronaldo meningkatkan jumlahnya kepada 22 gol dalam liga dengan jaringan pada minit kelapan, 44 dan 78 selepas pasukan tempat ketiga, Villarreal mengancam mencipta kejutan dalam separuh masa pertama mendebarkan di Santiago Bernabeu.
Kemenangan 4-0 Barcelona ke atas Deportivo La Coruna, Sabtu lalu meletakkan tekanan ke atas Real untuk membalas.
Villarreal dua kali mendahului hanya untuk menyaksikan Ronaldo menyamakan kedudukan buat Real dengan gol ke-20 dan 21 liga musim ini untuk menafikan gol Ruben Cani, selepas enam minit dan Marco Ruben pada minit ke-17.
Pada separuh masa kedua, Ronaldo sekali lagi mencuri tumpuan dengan meletakkan Real mendahului pada minit ke-78 selepas kesilapan daripada penjaga gol, Diego Lopez sebelum pemain gantian Brazil, Kaka meraikan kepulangannya ke kecergasan penuh dengan gol pertamanya dalam liga musim ini beberapa minit kemudian.
Jurulatih Real, Jose Mourinho meraikan jaringan itu sehingga menimbulkan kemarahan bangku simpanan Villarreal dan jurulatih pasukan pelawat, Juan Carlos Garrido dibuang padang kerana membantah tindakannya.
Real kini akan mengalihkan perhatian mereka ke suku akhir timbal balik pertama Piala Raja-Raja, Khamis ini menentang jiran bandar sama, Atletico Madrid di Bernabeu, manakala Villarreal, yang kini 11 mata belakang Real di tempat ketiga, berdepan Sevilla pada pusingan lapan terakhir kejohanan itu Rabu ini.
Valencia mahu melupakan penyingkiran mereka dengan kemenangan derby di Levante lewat Ahad ini. Valencia kini di tempat keempat dan akan mengharapkan mata maksimum untuk mengembalikan jurang tiga mata ke atas pasukan tempat kelima, Espanyol. - AFP
--- BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.