Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 23, 2011

Kelantan Boleh Bermain Malam Sebelum Awal Feb Depan

KOTA BAHARU, 23 Jan (Bernama) -- Kelantan akan diberi hak untuk mengendalikan perlawanan bola sepak pada sebelah malam sebelum Februari depan berikutan pihak Stadium Sultan Muhammed Ke-IV akan menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian lampu limpah dan padang mengikut syarat-syarat piawaian yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata FAM bersetuju memberi kelonggaran supaya pihak Perbadanan Stadium Kelantan menyiapkan kerja-kerja pemasangan lampu limpah dan padang sebelum akhir bulan ini.

"Kita menjangkakan stadium itu dapat digunakan sebagai gelanggang permainan sebelah malam, apabila kerja-kerja menaik taraf lampu limpah dan padang permainan sebelum musim pertama Liga Malaysia bermula 1 Februari depan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara KAFA dengan DiGi sebagai penaja utama pada kejohanan bola sepak musim ini.

Pada majlis itu, Setiausaha Agung KAFA Mohd Nordin Awang mewakili KAFA, manakala Pengurus Besar Happy Wilayah Timur Roslan Rosli bagi pihak DiGi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden FAM berharap badan induk itu akan dapat memberi kelonggaran kepada KAFA yang sebelum ini mensyaratkan supaya badan itu menaikkan taraf stadium tersebut termasuk lampu limpah dan padang mengikut piawaian yang ditetapkannya.

Mengulas penajaan itu Annuar berkata, ia meliputi kesemua jenis perlawanan pasukan Red Warriors, termasuk Liga Super, Liga Perdana, Piala Malaysia, Piala Presiden, Piala FAM dan Piala Sumbangsih.

Berikutan perjanjian itu, Kelab Red Warriors akan memakai jersi baru warna lambang 'Happy Prabayar' di gelanggang pelawat, manakala berpakaian seragam merah putih di gelanggang sendiri.

"Pembabitan Happy dianggap berbeza, kerana ia bukan sahaja dianggap penaja elit kerana ia turut membabitkan pembangunan bola sepak di kalangan remaja di samping mencungkil dan mengasah bakat baru untuk dijadikan pemain profesional.

"Secara tidak langsung ia juga akan memastikan pembangunan bola sepak dapat dilaksanakan secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi kepada golongan muda bergiat aktif dalam sukan bola sepak," katanya.

Beliau bagaimanapun, tidak menjelaskan kos yang terpaksa ditanggung bagi penajaan itu di samping beberapa rakan penaja lain seperti Al-Hamra, Yusmira Trading, Al-Jabbar dan Umbro.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...