KUALA LUMPUR - Keputusan K. Devan mengambil kembali Mohd. Fadzli Saari untuk memperkuatkan pasukan Selangor pada saingan Liga Malaysia 2011 mungkin mengundang sedikit kekeliruan di kalangan penyokong Red Giants.
Sudah 'berkarat', tidak konsisten dan malas bergerak, itu antara alasan-alasan utama diberikan oleh peminat setia Merah Kuning, yang beranggapan dia tidak layak lagi beraksi di dalam sebuah skuad hebat seperti Selangor.
Bagaimanapun, itu hanya penilaian kasar yang mungkin difikirkan oleh peminat, sebaliknya buat Devan, dia lebih arif terhadap kemampuan sebenar Fadzli yang pernah menyarung jersi Selangor selama tiga musim dari tahun 2006 hingga 2008.
Menurutnya, Fadzli bakal menjadi taruhan terbaru Selangor ketika situasi set-piece berdasarkan kelebihan fizikal dan berkeupayaan mendapatkan gol melalui tandukan.
''Pada musim lalu, kami agak sedikit lemah dalam situasi perebutan bola di udara dan percubaan mendapatkan gol melalui set-piece, kehadiran Fadzli saya jangka akan banyak membantu Selangor dalam aspek terbabit.
''Fadzli boleh menjadi senjata terbaru kami dalam memburu gol ketika situasi sepakan sudut atau sepakan percuma.
''Dia telah membuktikan prestasinya masih di puncak selepas menjaringkan 17 gol bersama KL Plus pada saingan musim lalu dan atas faktor itu, saya tertarik mendapatkan khidmatnya kembali ke Selangor,'' katanya yang merupakan jurulatih Selangor.
Fadzli bukan satu nama yang asing di kalangan peminat bola sepak tempatan. Bekas pemain kebangsaan ini pernah menempa nama kerana pernah beraksi di luar negara bersama kelab SV Wehen pada tahun 2001.
Selain Fadzli, Devan berkata kemasukan beberapa muka baru seperti Saiful Amar Sudar, Azidan Sarudin dan Yosri Derma Raju akan meluaskan lagi pilihan pemain.
''Kehadiran mereka adalah untuk menampung beberapa posisi yang saya anggap masih perlu diperbaiki di samping menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas pemain, '' ujarnya.
Mengenai sasaran musim ini, Devan mengakui dia amat kepingin melihat Selangor kembali menjulang trofi Piala Malaysia, selepas lima tahun gagal melakukannya.
''Bagi nama besar seperti pasukan Selangor, lima tahun adalah satu tempoh yang agak lama, walaupun kami tidak ketandusan gelaran termasuk meraih gelaran juara Liga Super selama dua tahun berturut-turut.
''Selain mahu mempertahankan kejuaraan Liga Super bagi tiga tahun berturut-turut, impian paling utama buat saya pada musim ini adalah membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Selangor, '' jelasnya.
Devan juga meluahkan rasa puas hati mengenai tahap persiapan Selangor yang baru pulang dari persiapan pra musim di Perth, kerana buat pertama kali dapat mengumpulkan semua pemainnya berlatih bersama.
''Berdepan antara tiga pasukan yang handal di sana, saya dapat kenal pasti beberapa kelemahan ketara yang perlu diperbaiki terutamanya di bahagian pertahanan,'' katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.