“Saya memang tidak pernah beraksi di separuh akhir kejohanan ini. Sekarang kami perlu meningkatkan usaha bagi memastikan Malaysia melangkah ke perlawanan akhir. Itulah yang ingin saya lakukan,” kata pemain Selangor itu.
Amirulhadi turut memahat nama sebagai penjaring gol ketiga skuad negara ketika Malaysia membelasah Laos 5-1 dan dia hanya tahu Malaysia berjaya ke separuh akhir selepas dimaklumkan pegawai dan pemain simpanan, sejurus selepas pengadil perlawanan dari Vietnam, Vo Min Tri menamatkan permainan.
“Kami hanya menumpukan perhatian kepada perlawanan menentang Laos kerana tahu perlu menang. Kami tidak mahu memikirkan apa yang berlaku di Jakarta dan saya hanya tahu kita layak ke separuh akhir selepas perlawanan tamat dan saya sangat bersyukur.
Amirulhadi memulakan aksi menentang Laos sebagai pemain simpanan dan dibawa masuk ketua jurulatih, K Rajagobal pada minit ke-35 bagi menggantikan Khyrill Muhymeen Zambri dan kehadiran Amirulhadi berjaya menghidupkan jentera serangan pasukan menerusi larian kencang serta hantaran tepat dilakukannya.
Amirulhadi mengalami kecederaan lutut hingga terpaksa dikeluarkan pada perlawanan menentang Thailand dan keadaannya itu pernah membimbangkan Rajagobal terutama ketika khidmat pemain itu amat diperlukan untuk menentang Laos.
“Sebaik diberi kepercayaan untuk berjuang, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan hanya menumpukan perhatian kepada usaha membantu kejayaan pasukan. Alhamdulillah kami berjaya melakukannya dan lebih manis lagi apabila diberitahu Malaysia berjaya mara ke separuh akhir,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.