BURSA, Turki - Manchester United menunjukkan bahawa jurang mereka dengan pendatang baru Liga Juara-Juara, Bursaspor masih jauh.
Awal pagi semalam, skuad The Red Devils mudah menewaskan kelab Turki itu 3-0 di gelanggang lawan - Stadium Ataturk.
Biarpun turun tanpa penyerang utama, Wayne Rooney yang masih cedera, United meledak tiga gol pada babak kedua menerusi jaringan Darren Fletcher pada minit ke-48, Gabriel Obertan (73) dan Bebe (77).
"Kami jelas menguasai sepenuhnya perlawanan biarpun pasukan tuan rumah berjaya mendapat beberapa peluang terbaik.
"Ternyata gol kedua kami telah mematikan terus perlawanan," kata pengurus United, Alex Ferguson.
Ferguson turut berpuas hati dengan sumbangan beberapa pemain muda yang diturunkannya seperti Chris Smalling, Obertan dan Bebe.
"Mereka telah melakukan yang terbaik dan saya cukup bangga dengan sumbangan mereka.
"Pengalaman yang mereka perolehi dalam perlawanan seperti ini cukup bermakna," jelas Ferguson.
United kini selesa di tangga teratas Kumpulan C dengan 10 mata dan seri pada perlawanan seterusnya dengan Rangers sudah cukup untuk mengesahkan kedudukan mereka ke pusingan kalah mati.
Sementara itu, jurulatih Bursaspor, Ertugrul Saglam masih berharap pasukannya meraih mata sulung pada baki dua perlawanan terakhir selepas ini.
"Harapan kami selepas tewas kepada United ini ialah untuk memburu jaringan pertama dan juga kemenangan pertama pada baki saingan.
"Kami telah mempamerkan aksi yang lebih baik dan mula mengumpul pengalaman setelah menghadapi lawan-lawan yang bertaraf dunia seperti United, Valencia dan Rangers ini," kata Saglam.
- Reuters
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.