DEPAVALI tahun ini memberi makna yang begitu besar buat bekas penyerang kebangsaan, V Saravanan apabila menjaringkan 23 gol pada saingan Liga Malaysia, termasuk Liga Perdana dan Piala FA musim ini.
Kejayaan itu membuktikan sentuhan bekas pemain Pahang dan Perak itu masih berbisa dan mampu memberi cabaran kepada penyerang lain bagi mengharungi Liga Malaysia musim depan.
Menurut Saravanan, beliau gembira kerana berjaya membuktikan kepada pengurusan ATM dirinya belum kehilangan taring bagi membantu pasukan.
“Saya sedia beraksi dalam aksi kompetitif dan memberi komitmen tinggi terhadap pasukan. Ia dibuktikan dengan 23 jaringan yang dihasilkan iaitu 18 gol di Liga Perdana, Piala FA (empat) dan Piala Malaysia (satu).
“Saya harap musim 2011 memihak kepada saya dalam usaha memburu kejuaraan peribadi dan pasukan. Tiada yang mustahil walaupun usia sudah memasuki 32 tahun tetapi saya masih lagi mampu untuk menabur bakti,” katanya.
Musim ini, Saravanan muncul penjaring kedua terbanyak Liga Perdana dengan 18 gol yang dimenangi penyerang PKNS, Zamri Hassan dengan 20 gol.
Ditanya sama ada akan beraksi dengan pasukan baru musim depan, beliau belum memutuskan pasukan yang akan diwakilinya berikutan ATM sudah membubarkan pasukan.Sehubungan itu, dia memikirkan sama ada akan kekal beraksi dengan ATM atau memilih menyarung jersi pasukan lain terutama yang beraksi dalam Liga Super.
“Setakat ini, tawaran memang ada tetapi tiada kata putus berkaitan kontrak. Pada masa sama, saya perlu bijak membuat pilihan bagi memastikan dapat disenaraikan dalam kesebelasan utama.“Daripada segi kecergasan tiada masalah kerana sentiasa memberi keutamaan bagi mempamerkan permainan lebih baik setiap kali beraksi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.