TANGKAS...Chanturu (kiri) diasak pemain Kyrgyzstan, Robbat Bokorov di Stadium Huadu, semalam.
GOL kemenangan S Chanturu memberi permulaan meyakinkan bagi Malaysia memulakan saingan Kumpulan A bola sepak Sukan Asia Guangzhou apabila menewaskan Kyrgyzstan 2-1 di Stadium Huadu, semalam.
Ia dihasilkan pada minit ke-59 selepas berlaku pergelutan dalam kotak penalti dan pemain Kelantan itu tenang menyepak leret bola masuk menewaskan penjaga gol, Maksim Agapov.
“Inilah persembahan cukup menarik ditunjukkan barisan negara dan saya memberikan kredit kepada mereka.
“Ia perlawanan cukup sukar penuh dengan aksi agresif tetapi kerjasama sepasukan serta disiplin tinggi memberi kelebihan kepada Malaysia.
“Kemenangan ini memang sangat diharapkan,” kata jurulatih K Rajagobal.
Perlawanan agak tegang selepas Ruslan Sydykov memadamkan gol pendahuluan Norshahrul Idlan Talaha yang dijaringkan pada minit ke-27 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Kesilapan Mahali Jasuli memberi ruang buat pemain sayap Kyrgyzstan itu berlari solo dari sebelah kiri padang sebelum melepaskan rembatan lencong menewaskan Khairul Fahmi Che Mat minit-37.Segala-galanya menyaksikan penguasaan Kyrgyzstan yang melancarkan serangan bertubi-tubi namun setiap asakan mereka berjaya dipatahkan benteng negara, diketuai Muslim Ahmad yang mengambil tugas Norhafiz Zamani Misbah yang dikeluarkan kerana kecederaan.
“Inilah kematangan yang ditunjukkan barisan pemain muda. Mereka tidak terjejas dengan ketiadaan kapten itu sebaliknya kekal fokus.“Kekuatan kita hari ini adalah semangat kental yang ditunjukkan mereka. Saya kagum dengan apa yang dipersembahkan,” katanya.
Selain Norhafiz, Rajagobal turut kehilangan Fakri Saarani yang turut tercedera.
Ditanya keadaan mereka, jurulatih yang membawa Malaysia memenangi pingat emas Sukan Sea Laos itu agak mengeluh.
“Daripada pemeriksaan kasar, boleh saya katakan kita akan kehilangan mereka berdua menentang Jepun dan mungkin juga China.
“Saya masih menunggu laporan fisio akan keadaan mereka tetapi buat masa ini, keadaan mereka agak membimbangkan.
“Apapun berdasarkan persembahan pemain muda tadi, saya tidak nampak kita perlu bimbang. Pertemuan dengan Jepun dan China adalah sukar dan saya tidak menafikannya.
“Biarlah kita hadapinya satu persatu. Daripada reaksi pemain di bilik persalinan, kemenangan hari ini menambah keyakinan mereka. Inilah yang saya mahukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.