BERKORBAN demi negara itu lebih mulia. Begitulah reaksi pemain sayap lincah, S Kunalan yang terpaksa berpisah dengan keluarga di Hari Deepavali untuk menyahut cabaran Malaysia di Sukan Asia Guangzhou.
Pemain utama skuad emas Sukan Sea Laos itu tidak menunjukkan reaksi sedih, terkilan atau terganggu.
Malah dia tenang dan kekal fokus dengan misi skuad bola sepak negara yang tiba di Guangzhou, menaiki pesawat awal pagi pada hari perayaan itu, semalam.
“Jika anda berkira, jangan wakil negara. Lebih elok tarik diri awal-awal lagi. Lagipun saya tahu jadual penerbangan jatuh pada hari perayaan. Lagipun bukan selalu saya berjauhan dengan keluarga pada hari besar begini.. ini baru pertama kali,” katanya tersenyum.
Selain bintang skuad Negeri Sembilan itu, lima lagi anggota pasukan yang berjauhan dengan keluarga adalah K Gurusamy dan S Chanthuru, selain jurulatih K Rajagobal, fisio R Sivakumar dan kitman, S Sivanasavan.
Bakat Kunalan dikesan Rajagobal dan dalam skuad Sukan Sea Laos dan menyumbang dua gol pada temasya itu sebelum menamatkan kemarau panjang 20 tahun meraih emas.
Dia yang lebih layak dianugerahkan pemain terbaik final Piala Malaysia, minggu lalu, berdasarkan gerakan kemas, larian pantas serta persembahan mempersona berkata: “Matlamat saya di Sukan Asia ini adalah untuk membantu skuad negara ke pusingan kedua.“Saya melihat kepada peluang ini berdasarkan format pertandingan di mana pasukan ketiga teratas peringkat kumpulan layak ke perlawanan play off.
“Kami hanya perlu memastikan satu kemenangan terutama menentang Kyrgyzstan, Isnin ini.”
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.