Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, November 13, 2010

Izzaq Faris Ramlan

Izzaq belum puas sekali (Harian Metro Online)

Oleh Azahar Md Taib dan Nor Hairulnizam Wahid (Yang berada di Guangzhou)

TANGKAS...Izzaq (kiri)diasak pemain Jepun, Sanoda Jun, kelmarin.
TANGKAS...Izzaq (kiri)diasak pemain Jepun, Sanoda Jun, kelmarin.

KECEDERAAN Ahmad Fakri Saarani memberi ruang buat penyerang Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan berada dalam kesebelasan utama skuad negara.

Aksi diperagakan selepas masuk menggantikan S Chanturu ketika Malaysia menewaskan Kyrgyzstan 2-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A meyakinkan jurulatih K Rajagobal menyenaraikannya menghadapi Jepun, kelmarin.

Biarpun tewas 0-2, skuad negara memberikan tentangan terpuji dan Izzaq hampir saja menyamakan kedudukan ketika Jepun mendahului 1-0 apabila tandukan kencangnya berjaya ditepis penjaga gol.

Namun bagi satu-satunya pemain tinggi lampai dengan ketinggian 1.83m, dia mengakui belum puas beraksi pada perlawanan antarabangsa pertamanya.

“Sekalipun berasa gugup, gementar dan teragak-agak mendapat bola, saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya.

“Ternyata pengalaman beraksi dalam Liga Slovakia tahun lalu belum cukup menjadikan saya kental berdepan aksi setinggi ini.

“Saya perlukan lebih banyak perlawanan sebegini untuk mematangkan permainan, menambah pengalaman serta menguatkan keyakinan bila dalam kotak penalti lawan,” katanya.

Berdasarkan persembahan majoriti pemain skuad Harimau Muda, beraksi dalam Liga Slovakia sebenarnya tidak banyak meningkatkan kualiti mereka.

Jelas mereka kadang kala hilang punca dan lambat membaca gerakan lawan selain kurang menunjukkan kreativiti permainan.

Program latihan ke Eropah Timur itu seharusnya dikaji semula kerana beraksi dalam liga itu hanyalah sekadar latihan persahabatan, tidak kompetitif dan tiada cabaran. Yang mereka peroleh hanyalah beraksi dalam musim sejuk dan peluang melawat Eropah.

Mereka seharusnya didedahkan kepada lebih banyak kejohanan dan bukan latihan. Dalam usia 20-an, jika dibandingkan dengan pemain muda Jepun, mereka bagaikan budak sekolah menentang pemain kelab.

Patutnya mereka sudah memiliki kematangan. Izzaq yang mengembalikan nostalgia bekas penyerang negara, James Wong berkata, aksi dalam dua perlawanan awal menjadikan dia lebih yakin jika diturunkan menghadapi perlawanan penentuan dengan China, esok.

Malaysia dan China perlukan kemenangan mutlak untuk layak automatik ke pusingan kedua bagi mengelak perebutan empat slot terakhir selaku pasukan ketiga setiap kumpulan.

“Saya sudah sedia begitu juga rakan sepasukan. Mental dan fokus kami tetap kuat dan saya boleh katakan kita tidak akan benarkan China menguasai permainan sekalipun mereka mendapat sokongan padu penyokong tempatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...