KANGAR - Aksi serba tidak menjadi yang ditunjukkan oleh skuad Perlis menentang Perak dalam kempen Piala FA di Stadium Utama Negeri di sini, kelmarin, mengecewakan jurulatih skuad Singa Utara, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff.
Walaupun prestasi pemain disifatkan jurulatih itu dalam keadaan baik, namun beliau masih tidak berpuas hati, terutama jentera serangan.
Permainan yang berkesudahan 0-0 itu, nampak menyebelahi Perlis yang tampil dengan asakan bertubi-tubi diketuai oleh penyerang Mohd. Fauzie Nan, namun gagal menemui penyudah yang tepat.
"Secara keseluruhan saya amat kecewa dengan barisan hadapan yang tidak menunjukkan prestasi seperti mana ketika menentang Selangor dalam kempen Liga Super di sini Sabtu lalu," tegasnya.
Malah, kata beliau, pemain-pemain juga tidak menunjukkan semangat juang yang baik sehingga melepaskan banyak peluang keemasan untuk mencipta jaringan ketika berada dalam kotak penalti.
Kegagalan mengutip tiga mata penuh di tempat sendiri itu, disifatkan oleh Mohd. Nidzam sebagai penyudah yang tidak selesa.
Sementara itu, jurulatih Perak, Raja Azlan Shah Raja Soib pula berbangga dengan prestasi permainan anak-anak buahnya, kelmarin.
"Saya berbangga kerana kami dapat mengutip satu mata di tempat lawan dan para pemain bijak mengawal tekanan terutama serangan bertali arus yang dibuat oleh jentera tuan rumah.
"Satu lagi faktor yang menyebabkan Perak boleh mengutip satu mata di tempat lawan ialah kerana para pemain memiliki disiplin yang baik iaitu mematuhi perancangan yang diatur," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.