|
|
LONDON - Dua jaringan menerusi tandukan Wayne Rooney membantu Manchester United mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas West Ham United di Old Trafford, semalam.
Kemenangan itu membolehkan penyandang juara Liga Perdana England tersebut, merapatkan jurang perbezaan hanya kepada satu mata di belakang peneraju liga, Chelsea.
Penyerang berbisa United, Rooney turut menjaringkan dua gol menerusi tandukan ketika kelab ternama England itu menumpaskan AC Milan pada persaingan Liga Juara-Juara, minggu lalu.
Ia menjadikan jaringan keseluruhan Rooney musim ini kepada 27 gol, 19 daripadanya dijaringkan dalam 19 perlawanan terbaru.
Pemain gantian, Michael Owen menjadikan kedudukan 3-0 pada pertemuan semalam dengan gol pada minit ke-80.
Owen menyumbat gol pelengkap tersebut selepas dua minit menggantikan 'mesin pemusnah' Rooney.
Rooney, sebelum itu melakukan dua tandukan merbahaya bagi menjaringkan gol pada minit ke-38 dan ke-55, selepas mendapat hantaran silang Antonio Valencia.
United kini di tangga kedua liga dengan mengumpul 60 mata daripada 28 perlawanan.
Bagaimanapun, kelab juara itu ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Chelsea dan Blues juga masih mempunyai baki satu perlawanan.
United dilihat tempang menjelang perlawanan akhir Piala Liga menentang Aston Villa di Wembley, Ahad ini apabila pengurus pasukan, Alex Ferguson mendedahkan bahawa tonggak pertahanannya, Rio Ferdinand tidak dapat beraksi. Ferdinand, yang merupakan ketua baru pasukan England, tidak beraksi pada pertemuan semalam, kerana mengalami kesakitan belakang.
Selain itu, pemain pertahanan tengah itu juga diragui kemungkinan tidak dapat beraksi pada perlawanan persahabatan antara England dan Mesir di stadium Wembley, tiga hari selepas perlawanan akhir Piala Liga.
"Dia (Ferdinand) berasa sakit di bahagian belakang badan pagi ini (kelmarin). Sehubungan itu, kami tidak mahu menanggung risiko jika dia diturunkan.
"Selain itu, dia juga tidak akan bermain pada perlawanan Ahad ini," kata Ferguson kepada Sky Sports.
Dalam pada itu, Ferguson turut melahirkan rasa gembira dengan kemenangan United ke atas pasukan di tangga ke-13 liga, West Ham.
"Pemain-pemain telah menunjukkan persembahan yang baik dan mereka dahagakan kemenangan. Mereka telah melaksanakan tugas dengan sangat sempurna.
"West Ham telah menunjukkan persembahan cemerlang baru-baru ini. Oleh itu, kemenangan ke atas kelab itu adalah satu keputusan baik buat kelab ini," kata Ferguson. - Reuters
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.