NEGERI SEMBILAN akan membuat perhitungan dengan Kelantan pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Skuad Rusa itu berjaya melangkah ke final selepas menang 3-1 ke atas Terengganu pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.
Kemenangan itu sekali gus menjadikan agregat 4-1 selepas Negeri Sembilan menang 1-0 pada aksi separuh akhir pertama, Selasa lalu.
Pada aksi malam tadi, penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak meletakkan skuad Rusa di hadapan seawal minit ke-10.
Lapan minit kemudian, Zaquan membuktikan kehebatannya apabila meledak gol kedua Negeri Sembilan.
Ketika permainan babak pertama memasuki masa kecederaan, penyerang kelahiran Terengganu, Hairuddin Omar menjaringkan gol ketiga pasukan pelawat.
Gol sagu hati skuad Penyu pula dijaringkan oleh Khairul Izwan Khalid pada minit ke-35.
Kekalahan itu turut melenyapkan impian Terengganu untuk mengulangi pencapaian tahun 2001 apabila berjaya menjuarai Piala Malaysia.
Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Kelantan terus berpesta apabila membenam Perlis 3-1.
Norfarhan Mohamad muncul wira Kelantan apabila meledak hatrik manakala gol tunggal Perlis dihasilkan menerusi Firdaus Faudzi.
Kemenangan itu menyaksikan Kelantan mara dengan agregat 5-1 selepas menang 2-0 minggu lalu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.