Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, March 13, 2014

PBSNT Tumpu Aspek Keselamatan Menjelang Terengganu Menentang JDT Esok


KUALA TERENGGANU, 13 Mac (Bernama) -- Bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku ketika Terengganu menentang Johor Darul Takzim (JDT) di sini esok, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memberi jaminan isu keselamatan pemain dan penyokong diutamakan.

Naib Presidennya Abdullah Sulong berkata bagi tujuan itu hampir 600 anggota keselamatan termasuk petugas akan ditempatkan di dalam dan luar stadium sepanjang perlawanan Liga Super itu berlangsung.

Katanya anggota terbabit terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan beberapa agensi berkaitan.

"Kita (PBSNT) telah mendapat arahan awal supaya meningkatkan aspek keselamatan khususnya di stadium termasuklah mengawal serta mengiring pemain, pegawai serta penyokong JDT ketika dalam perjalanan ke stadium atau keluar dari stadium jika mereka perlukan khidmat kami," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PBSNT mengenai aspek keselamatan di sini.

Mengenai pemasangan pagar tambahan di stadium yang disifatkan ramai pihak sebagai langkah keselamatan menjelang perlawanan `panas' menentang JDT, Abdullah berkata perkara itu sebenarnya telah lama dirancang dan hanya dipasang beberapa hari lepas.

"Secara kebetulan ia bertembung dengan perlawanan menentang JDT. Jadi, tidak timbul sebarang isu dalam hal ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Samsuddin berkata 250 hingga 300 anggota polis akan ditugaskan berkawal di stadium esok dan tindakan tegas akan diambil terhadap penyokong yang melakukan provokasi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena