Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 28, 2012

Nilai but bola bagi Piya

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
28 Januari 2012
nilai-but

BAGI seseorang pemain bola sepak, anggota mereka yang paling bernilai ialah kaki.

Kerana itu, ia perlu dilindungi sebaik mungkin dengan kasut atau but yang bersesuaian.

Bukan sahaja keselesaan, malah but itu semestinya yang benar-benar menepati rasa hati kerana ia juga adalah pencetus semangat atau sumber inspirasi.

Tanpa but yang sesuai, seseorang pemain mungkin tidak dapat beraksi seperti yang diharapkan.

Bagi Ketua Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi atau dikenali Piya, dia mempunyai kegilaan yang tersendiri terhadap but. Koleksi butnya kini sudah mencecah 18 pasang.

Memakai but bersaiz tujuh, pemain yang berusia 30 tahun itu berkata, koleksi peribadinya itu sentiasa dijaga dan disimpan rapi di dalam almari. Daripada 18 pasang but itu, dua daripadanya berjenama Puma, Nike (empat) dan 12 lagi jenama Adidas. Jenama Adidas F50 yang dijahit dengan nama ‘Piya 16’ merupakan but bola termahal yang dimiliki oleh Mohd Badhri.

Menceritakan mengenai but pertama yang dimilikinya, Mohd Badhri menjelaskan jenama Pro Spec merupakan but yang pertama dipakai ketika dia mula-mula mewakili Kelantan ke Kejohanan Bola Sepak Piala Milo pada 2001.

“Selepas dua tahun, saya menukar kepada jenama Nike yang cukup popular ketika itu. Malah but jenama tersebut paling lama saya gunakan bermula 2003 hingga 2008. Kemudian saya bertukar kepada jenama Puma namun hanya sempat bertahan setahun sahaja.

“Kalau diikutkan memang saya lebih menyukai jenama Puma kerana selesa digunakan namun kerana model yang saya pakai tidak lagi dikeluarkan memaksa saya beralih kepada jenama Adidas sejak tahun lalu.

Sejak itu saya terus jatuh cinta dengan jenama tersebut,” katanya.

Paling mahal bernilai RM1,500

Menurut Mohd Badhri, but paling murah yang pernah digunakannya berharga RM400 berjenama Puma sementara but termahal pula bernilai RM1,500 berjenama Adidas.

“Paling mahal pernah saya gunakan ialah model Adidas F50 yang turut dijahit nama timangan saya sendiri. Terbaru pula, saya menggunakan jenama Adidas model Adizero yang baru sahaja berada di pasaran.

“But baru ini berharga RM780 sepasang dan satu lagi model berharga RM1,300 yang mana ia dilengkapi dengan cip pintar yang dapat mengukur kepantasan dan berapa jauh jarak larian dilakukan ketika beraksi di padang.

“Memang sebelum ini saya mempunyai berpuluh-puluh pasang but namun ada yang sudah dijual secara ‘secondhand’ atau pun diberi percuma kepada saudara mara dan juga rakan-rakan.

“Seumpama kita jaga diri kita, begitu jugalah saya menjaga but bola saya.

Sebaik sahaja menggunakannya, tidak kira selepas sesi latihan atau pun perlawanan, saya akan pastikan but saya dibersihkan sepenuhnya," katanya.

But bola ini sebenarnya ibarat ‘nyawa’ bagi seseorang pemain bola sepak. Biar berharga beribu sekali pun tapi kalau tidak serasi dipakai, pun tidak ada guna juga.

Yang penting setiap but yang dipakai harus sesuai dengan kita.

---SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena