Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, November 6, 2010

Cedera sebelum berjuang (Utusan Malaysia Online)


ADAKAH jersi baru yang dilancarkan pada 3 November lalu akan membawa tuah kepada kejayaan Malaysia di pentas Sukan Asia 2010 Guangzhou?


BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul', demikian nasib yang terpaksa diterima oleh jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal bagi menghadapi Sukan Asia di Guangzhou dengan skuad serba pincang terutamanya di bahagian pertahanan.

Bagaikan seekor harimau yang terluka, skuad Bawah 23 negara tidak dapat menurunkan kekuatan maksimum bagi melayani cabaran dua gergasi bola sepak Asia, Jepun dan China selain berhadapan Krygystan pada perlawanan pembukaan, 8 November ini

Paling menjejaskan perancangan Rajagobal adalah kehilangan ramai pemain pertahanan pada fasa terakhir persiapan skuad kebangsaan. Tiga nadi pengawal gawang negara, Aidil Zafuan Abdul Razak, Mohd. Sabre Mat Abu dan Mohd. Nasriq Baharom terpaksa digugurkan ekoran kecederaan.

Ekoran ketiadaan ketiga-tiga pemain berkenaan, Rajagobal tiada pilihan lain selain memasukkan nama Norhafiz Zamani Misbah di dalam skuad dan mengorbankan satu slot pemain senior yang pada awalnya dijangka menjadi milik penyerang Selangor, Safee Sali.

Di atas kertas, senarai pemain pertahanan di dalam skuad negara pasti menggusarkan Rajagobal kerana selain Zamani, hanya Asraruddin Putra Omar, Mahali Jasuli dan Mohd. Muslim Ahmad yang mempunyai pengalaman beraksi bersama Malaysia di pentas antarabangsa.

Apa yang jelas, skuad negara terpaksa bergantung kepada ramai pemain Harimau Muda bagi menampung ketiadaan abang-abang mereka. Nama-nama seperti Mohd. Fandi Othman, Mohd. Fadli Shas dan Mohd. Faizal Mohd akan diharapkan oleh Rajagobal bagi mengekang asakan skuad negara Matahari Terbit dan skuad Tembok Besar.

Jika keluhan bekas pemain sayap kebangsaan itu diambil kira, para peminat bola sepak diminta jangan terlalu mengharapkan kejayaan sebaliknya bersikap realistik berdasarkan situasi terkini skuad negara di bahagian pertahanan.

''Apa yang saya boleh perkatakan lagi, kecederaan yang melanda tonggak pertahanan datang pada saat terakhir dan saya tidak boleh berbuat apa-apa.

''Dalam mana-mana kejohanan besar, pertahanan adalah bahagian paling penting dan kritikal buat sesebuah pasukan tetapi malangnya di bahagian itu kita paling banyak terjejas.

''Kalaulah senarai nama pemain boleh ditukar lagi, saya sendiri mahu nama saya dimasukkan dan beraksi sebagai salah seorang pemain pertahanan,'' seloroh Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang Maldives, baru-baru ini yang dimenangi Malaysia dengan keputusan 4-0.

Pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Asia adalah merangkul pingat gangsa pada tahun 1962 di Jakarta dan 1974 di Tehran, Iran namun catatan itu hanya tinggal sejarah yang mungkin sukar diulangi buat masa kini.

Negara-negara Asia lain seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan Iran sudah jauh meninggalkan negara Malaysia bukan sahaja daripada segi pencapaian malah daripada segi tahap permainan dan pembangunan bola sepak.

Diletakkan sekumpulan dengan China dan Jepun, hanya persembahan terpuji dan tentangan sebaik mungkin ditagih oleh peminat kerana menyedari kemenangan dilihat satu perkara yang agak sukar walaupun tidak mustahil.

Bagi posisi tengah, ketiadaan ayam tambatan Kedah, Baddrol Bakhtiar mungkin sedikit memeningkan kepala Rajagobal walaupun dia masih mempunyai Safiq Rahim, K. Gurusamy dan Amar Rohidan untuk menghubungkan jentera serangan dan pertahanan.

Anak jati Sungai Petani itu mempunyai kemampuan menjadi watak sebagai perancang malah ada kalanya boleh bertindak selaku penyerang jika situasi memerlukan seperti mana yang dia lakukan ketika bersama Kedah.

Keadaan demikian menyebabkan skuad negara akan banyak bergantung harap kepada kreativiti Safiq di samping kelincahan serta larian pantas S. Kunalan, S. Chanturu dan Khyril Muhymeen Zambri memerangkap pertahanan lawan.

Di jentera serangan, pasukan negara amat bergantung harap kepada kemampuan Pemain Paling Bernilai 2010, Norshahrul Idlan Talaha untuk menggempur kubu lawan dan seterusnya mencari sentuhan gol.

Selepas ketiadaan Zaquan Adha, pemain Kelantan berkemungkinan besar akan digandingkan bersama Ahmad Fakri Saarani. Bintang Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan melengkapkan senarai barisan serangan.

Peningkatan prestasi pemain muda terbaik 2010, Khairul Fahmi Che Mat hadir tepat pada masanya selepas dua penjaga gol utama, Sharbinee Allawee dan Mohd. Farizal Marlias terpaksa diketepikan kerana masih belum cergas sepenuhnya.

Dia menjadi watak penting kepada kejayaan manis Kelantan pada musim ini terutamanya ketika berhadapan Selangor di peringkat suku akhir dan Negeri Sembilan semasa perlawanan akhir.

Malaysia tiada pilihan lain selain wajib mencatatkan kemenangan ke atas lawan yang berkedudukan ranking lebih rendah, Krygystan pada perlawanan pertama bagi menaikkan moral pemain sebelum berdepan China dan Jepun.

Jika menang, Malaysia masih boleh mengharap tempat ke pusingan kalah mati kerana mengikut format Sukan Asia, empat pasukan terbaik daripada enam kumpulan yang berada di tempat ketiga akan layak ke pusingan kedua.

Satu kemenangan dan satu keputusan seri ke atas Jepun atau China mungkin sudah cukup buat anak-anak buah K. Rajagobal walaupun mungkin ramai peminat bola sepak beranggapan ia sekadar omongan kosong.

Tahap permainan skuad negara di bawah kendalian K. Rajagobal sebenarnya sudah banyak meningkat jika diperhatikan tahap stamina pemain yang boleh beraksi dengan baik sehingga 90 minit permainan di samping bijak menyusun strategi ketika menyerang.

Kejayaan menamatkan kemarau pingat emas selama 20 tahun di Sukan SEA pada tahun lalu boleh dijadikan sedikit dorongan biarpun tahap persaingan di antara dua kejohanan bagaikan 'langit dan bumi'.

Semoga skuad Harimau Malaya kita mampu memberikan ngauman yang menggerunkan lawan dan pulang ke tanah air dengan kejayaan membanggakan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...