KUALA LUMPUR - Desas-desus penghijrahan penyerang Selangor dan kebangsaan, Safee Sali ke pasukan lain hanya khabar angin, apabila pemain itu menegaskan, dia kekal bersama Selangor musim depan.
Tegasnya, dia masih menghormati baki kontrak selama satu tahun bersama Selangor dan tidak berminat untuk berhijrah ke mana-mana pasukan.
''Musim hadapan saya akan terus beraksi bersama Selangor. Adalah tidak benar sama sekali laporan yang akan mengatakan saya akan bermain dengan pasukan baru.
''Kontrak dengan Red Giants ada lagi setahun dan saya harus menghormati kontrak tersebut, '' katanya ketika dihubungi, semalam.
Nama Safee sebelum ini disebut-sebut bakal menyertai skuad Perak, yang dalam proses membina kembali kekuatan pasukan itu, selepas diambil alih pengurusan baru yang diterajui Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Zainol juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Perak.
Menyentuh mengenai ketiadaan namanya dalam senarai skuad Sukan Asia, Safee mengakui kecewa kerana digugurkan pada saat akhir.
''Empat tahun lalu, saya tidak ke Sukan Asia Doha kerana mengalami kecederaan dan kali ini nampaknya nasib saya tetap malang.
''Namun, saya faham kehendak jurulatih, kerana tiada banyak pilihan disebabkan kesemua pemain berpengalaman di bahagian pertahanan mengalami kecederaan dan dia terpaksa memilih Norhafiz Zamani Misbah mengisi salah satu slot pemain senior, '' jelasnya.
Safee optimis rakan sepasukannya bakal menyerlah di Guangzhou dan akan memberikan kejutan kepada banyak pihak.
''Berdasarkan prestasi semasa, saya yakin skuad negara mampu layak sekurang-kurangnya ke pusingan kedua,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.