Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, February 4, 2010

Dollah kecewa Pahang sekadar catat keputusan seri (Utusan Malaysia)



Penyerang Pahang, Azammuddin Mohd. Akil (dua dari kanan) diasak hebat pemain Felda United, Hasmarul Fadzir Hassan dalam saingan bola sepak Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.


KUANTAN - Penyudah yang lemah menjadi faktor utama Pahang gagal meraih kemenangan ketika melayan Felda United pada perlawanan pembuka tirai Piala FA di sini, kelmarin.

Percaturan meletakkan Abdul Rahman Kadir dan R. Karthigesu ternyata tidak menjadi menyebabkan Pahang hanya sekadar catat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan tersebut.

Perkara itu diakui jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang kecewa dengan sentuhan penyudah kesebelasan anak buahnya itu.

''Pada perlawanan itu, Abdul Rahman dan Karthigesu belum mencapai 'standard' yang diharapkan untuk menjaringkan gol," katanya kepada Utusan Sukan di sini, semalam.

Secara keseluruhannya, Dollah memberitahu, para pemain berjaya menguasai perlawanan termasuk melancarkan banyak serangan berbanding pasukan lawan.

"Masalah utama ialah apabila pemain memiliki peluang untuk menjaringkan gol, mereka seperti tersipu-sipu di hadapan gawang dan gagal memberi sentuhan penyudah yang sempurna.

"Saya sedang berusaha dan akan memberi sepenuh tumpuan bagi mengatasi masalah di bahagian serangan ini," tegasnya.

Dalam pada itu, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan tetap bersyukur kerana pasukannya masih mampu mengelakkan diri daripada menanggung kekalahan apabila memperoleh penalti pada babak akhir perlawanan selepas Felda United mendahului di minit ke-42.

"Kita berjaya menjaringkan gol di minit akhir untuk mencatat keputusan seri dan bagi saya, pada setiap perlawanan keputusan akhir itulah yang diambil kira.

"Apa pun, saya gembira kerana Pahang masih mengekalkan rekod bersih tanpa tewas di tempat sendiri," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...