|
|
LONDON - Chelsea melepaskan peluang untuk menjarakkan kedudukan pendahulu bola sepak Liga Perdana England kepada empat mata di depan pencabar terdekat, Manchester United selepas sekadar seri 1-1 dengan kelab bermasalah, Hull City, semalam.
Jaringan Didier Drogba menerusi sepakan percuma menuju ke penghujung babak pertama berjaya menyamakan kedudukan buat Chelsea selepas Hull mencipta kejutan dengan membuka jaringan menerusi Steven Mouyokolo.
Bagaimanapun, Chelsea gagal mencari gol kemenangan sebaik separuh masa kedua bermula, meskipun meningkatkan tekanan pada minit-minit terakhir permainan.
Keputusan seri mengekalkan skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu di tangga teratas liga dengan 55 mata daripada 24 perlawanan, hanya dua mata meninggalkan United.
Arsenal, yang akan menentang Chelsea pada hujung minggu ini mengekori di tangga ketiga dengan 49 mata.
Biarpun berjaya mengikat pendahulu liga, Hull kekal menghuni kedudukan tiga tercorot iaitu berada di zon penyingkiran dengan mengutip 21 mata daripada 24 perlawanan.
Bagi Chelsea, prestasi mereka hanya mengagumkan di Stamford Bridge, melepaskan dua mata sepanjang musim, namun skuad Blues mempamer kecemerlangan yang sama apabila berkunjung ke gelanggang lawan.
Dalam perlawanan di Stadium KC, semalam Chelsea bermula garang dengan Frank Lampard dan Michael Ballack masing-masing menguji penjaga gol tuan rumah, Boaz Myhill pada awal saingan.
Namun, jaringan pembukaan Hull menerusi tandukan Mouyokolo pada minit ke-30 menyentak seketika anak-anak buah Ancelotti.
Mouyokolo menanduk bola hasil sepakan sudut yang diambil Stephen Hunt untuk menewaskan penjaga gol Chelsea, Petr Cech dari jarak dekat.
Bagaimanapun kegembiraan Hull tidak bertahan lama apabila penyerang Ivory Coast, Drogba, yang baru kembali menyertai ke pangkuan kelab selepas pulang dari Piala Negara-Negara Afrika menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang melencong, tiga minit sebelum tamat babak pertama.
Hull beroleh peluang terbaik untuk kembali di depan sebaik separuh masa kedua bermula tetapi ia gagal disempurnakan oleh Anthony Gardner apabila rembatannya sedikit tersasar.
Peluang terbaik Chelsea pula hadir menerusi Daniel Sturridge pada minit terakhir, tetapi sepakannya diselamatkan oleh Myhill.
Ketua pasukan Chelsea, John Terry, yang sedang berdepan krisis peribadi tetap tenang sepanjang perlawanan, biarpun pada awalnya dijangka menjadi mangsa provokasi penyokong Hull.
Masa depan Terry sebagai kapten England akan diputuskan minggu ini oleh jurulatih, Fabio Capello. - Reuters
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.