Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/02/26
JADUAL padat dalam tempoh dua minggu sebelum perlawanan kedua pra-kelayakan Olimpik bertemu Pakistan di Lahore, 9 Mac ini membuatkan pengendali Ong Kim Swee pening untuk mencorak strategi terbaik pasukan kendaliannya.
Sehari selepas skuad Olimpik kebangsaan dikumpul pada 2 Mac ini, perlawanan pusingan kedua Piala FA pula menanti sebelum berangkat ke Lahore untuk menentukan kemaraan ke pusingan kelayakan seterusnya.
“Memang pening memikirkan untuk memilih pemain mana akan diturunkan untuk tiga perlawanan itu nanti,” kata Kim Swee selepas sesi latihan di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.
“Saya perlu fikir banyak faktor untuk memastikan keseimbangan dalam misi ke Olimpik serta menghadapi liga tempatan tetapi ini bukanlah masalah besar kerana kami mempunyai ramai pemain yang boleh digilirkan.
“Yang penting, saya perlu mencari keseimbangan terbaik dalam pasukan dan berharap pada masa sama dapat menghasilkan keputusan terbaik dalam saingan liga tempatan dan antarabangsa,” katanya yang tidak menafikan mungkin terpaksa mengorbankan saingan liga tempatan kerana misi untuk negara perlu diutamakan, atau berdepan risiko kecederaan pemain.
“Saya tidak mahu kem latihan pusat menjelang perlawanan penting menjadi seperti pusat pemulihan. Pemain skuad Harimau Muda A tidak menjadi masalah kerana dalam kawalan saya, yang dirisaukan ialah pemain kebangsaan dari pasukan negeri.
“Saya harap mereka dapat mengelak kecede-raan serius dan meletakkan kepentingan negara sebagai agenda utama,” katanya merujuk kepada Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Ali dan Mohamad Faizal Abu Bakar (Kedah).