Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 19, 2014

Piala AFC: Selangor Alami Kekalahan Pertama


KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Selangor mengalami kekalahan pertama dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), musim ini selepas kecundang 1-0 kepada wakil Vietnam, Hanoi T&T dalam saingan kumpulan F di Stadium Hang Day, Hanoi, Rabu.

Gol tunggal perlawanan menerusi jaringan penyerang, Nguyen Van Quyet pada minit ke-51 membolehkan pasukan tuan rumah itu meraih kemenangan ketiga berturut-turut, demikian menurut laman web AFC;www.the-afc.com.

Selangor, yang mencatat dua keputusan seri sebelum ini, berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi jaringan Afiq Azmi, namun dibatalkan pengadil perlawanan, Jarred Gavan Gillett dari Australia selepas pemain itu dikatakan berada dalam kedudukan offsaid.

Kemenangan tersebut membolehkan wakil Vietnam itu mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan dengan sembilan mata manakala Selangor kendalian Mehmet Durakovic berada pada kedudukan ketiga dengan dua mata selepas tiga perlawanan awal.

Satu lagi perlawanan kumpulan F menyaksikan Arema Indonesia menundukkan Maziya Sports & Recreation Club dari Maldives 3-1 di Stadium Nasional Maldives.

Selangor bakal menentang pasukan yang sama pada aksi keempat kumpulan di Stadium Shah Alam manakala Arema Indonesia akan melayan kunjungan Maziya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia, 1 April ini.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...